Pendahulu Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) menghampiri kejuaraan liga itu buat kali ketujuh berturut-turut, selepas membelasah Selangor 6-1 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, malam tadi.

Berbaki tiga perlawanan sebelum saingan musim ini berakhir, skuad Harimau Selatan itu hanya memerlukan satu mata untuk dinobatkan juara, sekali gus mencipta satu lagi sejarah baharu, jika Kedah tewas kepada Sabah pada aksi tertangguh Isnin ini.

Pesta gol JDT bermula pada separuh masa kedua perlawanan selepas 45 minit pertama menyaksikan Selangor berjaya mengimbangi perlawanan dengan baik, namun sepakan percuma yang diambil Muhammad Safawi Rasid pada penghujung babak pertama, meletakkan JDT 1-0 di hadapan.

Empat minit berselang selepas rehat Muhammad Safawi meledak gol kedua JDT selepas bijak menyempurnakan sepakan penalti, sebelum skuad bimbingan Benjamin Mora itu selesa mendahului 4-0 hasil jaringan pemain import Diogo Luis Santo (minit ke-64) dan Gonzalo Cabrera (minit ke-67).

Selangor terus tertekan sehingga membenarkan pemain muda Muhammad Ramadhan Saifullah Usman menjaringkan dua gol pada minit ke-72 dan minit ke-75 sekali gus melengkapkan malam gemilang JDT sebelum Rufino Segovia meledak gol sagu hati pasukan pelawat, pada minit ke-81.

JDT kini megah di takhta Liga Super dengan mengumpul 22 mata selepas lapan perlawanan, sementara Kedah yang kekurangan satu aksi di tempat kedua berkongsi 13 mata bersama UiTM FC yang mengejutkan Terengganu FC (TFC) 2-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Victor Nirennold muncul wira UiTM FC selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-59 selepas kedudukan terikat 1-1 hasil jaringan pembukaan Muhamad Arif Mohamed Anwar pada minit keempat dan gol penyamaan pasukan pelawat menerusi kapten Lee Andrew Tuck pada minit ke-38.

Sementara itu, dua gol masing-masing daripada Endrik Dos Santos pada minit ke-45 dan Rafael Vitor Santos pada penghujung babak permainan memastikan kemenangan 2-1 milik Pulau Pinang yang mengatasi Kuala Lumpur pada aksi di Stadium Bandaraya.

Dalam pada itu, Perak II seri tanpa jaringan ketika melayani kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

-- BERNAMA