JDT beri tunjuk ajar di UiTM

Astro Arena
Februari 19, 2016 12:26 MYT
Pemain pasukan JDT, M. Amirul Hadi (kanan) cuba merebut bola dari pemain UiTM FC, Pavel Purishkin pada perlawanan Pusingan Kedua Piala FA 2016 antara Pasukan UiTM FC dengan JDT di Stadium UiTM hari ini. - Foto Bernama

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) memulakan kempen Piala FA dengan penuh gaya ketika membelasah UiTM FC 5-0 dalam perlawanan pusingan kedua di Stadium UiTM, Shah Alam sebentar tadi.

Juara Liga Super tidak perlu tunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila penyerang veteran, Amri Yahyah memecah kebuntuan seawal minit ke-13.
Aksi dua gol daripada pemain sayap, S.Chanturu pada minit 32 dan 36 melebarkan pendahuluan skaud Harimau Selatan yang beraksi dengan penuh semangat menentang pendahulu Liga Perdana itu.
Sebelum tamat babak pertama, pertahanan Amirul Hadi sempat lagi menyumbat gol keempat perlawanan.
Bersambung babak kedua, pengendali JDT, Mario Gomez ambil keputusan turunkan dua penyerang importnya iaitu Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero.
Diaz yang menggantikan Safee Sali, meledakkan gol kelima buat pasukan pelawat pada minit ke-71 namun Lucero gagal meneruskan pesta gol ketika gagal sempurnakan sepakan penaltinya minit ke-85.
Malangnya, JDT turut menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Amirul Hadi mengasari Muhammad Adib pada masa kecederaan namun perlawanan tamat dengan keputusan 5-0 berpihak JDT di halaman UiTM FC.
PDRM bangkit lawan DRB-Hicom
Dalam pada itu, walaupun perlawanan antara DRB-Hicom dan PDRM terpaksa diheret ke masa tambahan, PDRM berjaya pastikan kemaraan ke pusingan seterusnya menerusi keputusan 2-1.
Pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi jaringan gol hasil sepakan percuma cantik Ivan Babic pada minit ke-6.
Kemudian, skuad The Cops pula menemui momentum tersendiri dan sepakan deras Christoper Keli berjaya mengikat perlawanan pada minit ke-19.
Perlawanan kekal 1-1 untuk 90 minit pertama namun PDRM berjaya merampas pendahuluan pada minit ke-103 di Stadium Proton, Tanjung Malim, Perak

#Amirul Had #Amri Yahyah #Harimau Selatan #JDT #Johor Darul Takzim #Jorge Pereyra Diaz #Juan Martin Lucero. #Liga Super #Mario Gomez #Piala FA