GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
SUKAN

JDT mara ke suku akhir Piala FA, Xisco mahu skuad tingkatkan fokus

Bernama 03/10/2025 | 01:30 MYT
Pemain JDT, Romel Oswaldo Morales Ramirez (kiri) melengkapkan jaringan hatrik ketika menentang UM Damansara United, pada Perlawanan Kedua Pusingan 16 Piala FA, di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. - Gambar Bernama
ISKANDAR PUTERI: Ketua Jurulatih, Xisco Munoz mahu skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) terus memberikan fokus sepenuhnya dan memastikan peningkatan yang berteruskan selepas pasukan ini berjaya mara ke suku akhir Piala FA apabila menewaskan UM-Damansara United.

Mengulas perlawanan malam tadi, jurulatih dari Sepanyol itu membuat rombakan besar dengan menurunkan kesebelasan utama yang berbeza sekali gus memberi peluang kepada pemain simpanan serta seorang pemain daripada skuad kedua untuk beraksi.

"Mereka bermain sangat baik pada 20 hingga 25 minit pertama dan pada separuh masa kedua, perlawanan sedikit berbeza. Tetapi yang paling penting, kami melangkah ke pusingan seterusnya," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu malam tadi.

Munoz mengakui kesilapan penjaga gawang Christian Abad yang melepaskan tiga gol namun menegaskan kesilapan adalah lumrah dalam mana-mana perlawanan.

"Sudah tentu, kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku tetapi dalam bola sepak apa sahaja boleh terjadi. Yang penting mengambil tanggungjawab dan menunjukkan keazaman untuk memperbaiki diri," katanya.

Munoz berkata, JDT bakal berdepan cabaran berbeza menentang Pulau Pinang FC pada suku akhir Piala FA meskipun pernah menewaskan mereka 6-0 dalam saingan Liga Super awal musim ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih UM Damansara United, Ridzuan Abu Shah berkata, anak didiknya menunjukkan kebangkitan selepas separuh masa kedua apabila gandingan Anwar Ceesay dan Michael berjaya menghasilkan dua gol penting.

Menyifatkan gol pertama hadir hasil kesilapan penjaga gol JDT yang dianggap sebagai gol sagu hati namun berjaya menaikkan semangat pasukan untuk bangkit.

"Permainan Anuar Cissey sebelum ini bukanlah mengikut corak penyerang yang diingini sehingga hampir digugurkan dalam beberapa perlawanan Liga A1 namun dia bangkit, membalas kritikan dan membuktikan kemampuan sebagai penyerang dengan kepantasan yang baik.

"Penjaga gol Haziq pula menunjukkan bakat luar biasa terutamanya dalam sepakan jauh. Peluang ini membolehkannya membuktikan kemampuan kerana tanpa peluang daripada jurulatih, pemain sukar menonjol," katanya.

-- BERNAMA




#Piala FA #JDT #Xisco Munoz #Pulau Pinang FC