Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) melebarkan rekod tanpa kalah di laman sendiri sejak Ogos 2013 selepas melakar kemenangan selesa 3-1 ke atas Selangor pada aksi tunggal liga di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan meraih 31 mata, kekurangan dua mata di belakang Pahang yang masih mendahului carta Liga Super selepas 15 perlawanan.

Pada aksi yang disaksikan hampir 11,000 penyokong itu, JDT berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-11 selepas Mohd Amri Yahyah menyepak masuk hantaran daripada penyerang import dari Argentina, Luciano Figueroa.

Tersentak dengan gol itu, Selangor kembali menyusun corak serangan dan meraih gol penyamaan menerusi pemain import dari Indonesia, Andik Vermansah hasil sepakan percuma pada masa kecederaan babak pertama.

Ketika permainan pada babak pertama hampir berakhir dengan keputusan seri 1-1, Figuero kembali meletakkan skuad Harimau Selatan di hadapan selepas menanduk masuk hantaran silang daripada S. Kunalan untuk menjadikan keputusan 2-1.

Sebaik sahaja perlawanan bersambung, kedua-dua pasukan saling mengasak kubu lawan, namun nasib lebih menyebelahi JDT yang mengesahkan kemenangan menerusi sepakan percuma menarik daripada Figueroa pada minit ke-79.

Keputusan 3-1 itu kekal sehingga tiupan wisel penamat daripada pengadil, Samsudin Ibrahim.

Perlawanan berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada 8 Julai lepas ditunda pada hari ini kerana JDT terlibat dengan aksi persahabatan menentang kelab Liga Jerman, Borussia Dortmund pada 9 Julai.

Liga Malaysia akan berehat seketika bagi memberi laluan kepada sambutan Hari Raya Aidilfitri selain persiapan skuad Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh bagi menghadapi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Julai ini.