JDT sambar khidmat bekas pemain sayap B-20 Brazil

Pengumuman rasmi mengenai kemasukan pemain sayap berusia 30 tahun itu dibuat menerusi laman media sosial rasmi Harimau Selatan pada Jumaat. - Foto X @OfficialJohor
JUARA Liga Super 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman mereka bagi mengharungi baki saingan musim ini apabila mengumumkan kehadiran bintang baharu dari Brazil, Marcos Guilherme.
Pengumuman rasmi mengenai kemasukan pemain sayap berusia 30 tahun itu dibuat menerusi laman media sosial rasmi Harimau Selatan pada Jumaat.
"Pertengahan musim sudah tiba, begitu juga bekas pemain sayap Bawah 20 Tahun (B-20) Brazil, Marcos Guilherme.
"Selamat datang ke Rumah Harimau Selatan," menurut hantaran video pengenalan pemain tersebut di Facebook rasmi Johor Southern Tigers.
Sebelum menyertai JDT, Guilherme beraksi di Liga Jepun (J-League) bersama kelab V-Varen Nagasaki sejak 2023 dengan rekod 17 gol dalam 79 perlawanan.
Pemain yang mempunyai tanda harga 750,000 euro (RM3.6 juta) itu kemudiannya dipinjamkan ke FC Tokyo musim lalu dan membuat 14 penampilan dan satu bantuan gol.
Selain Liga Jepun, dia juga berpengalaman di beberapa pasukan utama dunia iaitu Dinamo Zagreb, Santos dan Sao Paulo.
Kemasukan Guilherme merupakan rekrut kedua diumumkan JDT dalam tempoh 24 jam selepas kelab itu turut mengesahkan pengambilan seorang lagi pemain sayap kelahiran Brazil, Yago Da Silva pada Khamis. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


