JDT sambung kontrak Shane Lowry untuk dua tahun lagi

Bernama
Oktober 4, 2021 14:23 MYT
Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menyambung kontrak pemain pertahanan kelahiran Australia pasukan itu, Shane Lowry selama dua tahun lagi. - BERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menyambung kontrak pemain pertahanan kelahiran Australia pasukan itu, Shane Lowry selama dua tahun lagi.
Pengarah teknikal JDT Alistair Edwards berkata Lowry merupakan pemain yang hebat dan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan selama enam bulan kontraknya dengan JDT.
"Beliau pada awalnya menandatangani kontrak selama enam bulan dan jelas sekali beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat baik kepada kelab.
"Hari ini secara rasminya majlis menandatangani kontrak untuk menyambung kontrak selama dua tahun lagi," katanya kepada pemberita di ibu pejabat JDT di sini.
Sementara itu, Lowry berkata beliau gembira untuk terus terikat dengan pasukan Harimau Selatan itu dan mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang juga pemilik JDT atas peluang yang diberikan itu.
"Sebaik sahaja saya mendengar JDT berminat, saya ingin menyertai pasukan itu kerana JDT mempunyai pakej yang lengkap.
"Saya hanya mempamerkan kelebihan dan prestasi diri. Mesti bekerja keras mulai sekarang kerana masih banyak yang perlu diperbaiki lagi," katanya.
Ketua Jurulatih JDT Benjamin Mora pula berkata bahawa beliau gembira dengan kehadiran Lowry di padang kerana beliau sentiasa mempunyai azam untuk menang.
"Secara keseluruhannya, beliau merupakan pemain yang hebat sama ada secara teknikal, taktik mahupun fizikal.
"Beliau mempunyai pemikiran yang hebat dan kita dapat memanfaatkan kelebihan pemain tengah kiri seperti dia. Jadi pihak pengurusan telah membuat keputusan yang betul dalam membawa masuk beliau," katanya.
Lowry, 31, pernah bermain bersama beberapa kelab Inggeris seperti Leeds United, Sheffield United, Milwall dan Leyton Orient, selain pernah bermain untuk pasukan Australia, Perth Glory dalam Liga-A.
-- BERNAMA
#Johor Darul Ta'zim #Tunku Ismail Sultan Ibrahim #bola sepak #JDT #shane lowry