IPOH: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan dengan tugas sukar untuk memastikan bekalan selesa apabila membenam Perak FC 4-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, di sini, malam ini.

JDT menepati ramalan menghampiri final apabila kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Esterban Solari membawa bekalan selesa untuk aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, pada 2 Nov ini.

Pasukan pelawat itu menguasai permainan dari awal dan hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka tirai jaringan menerusi tandukan Oscar Pasero Arribas selepas menerima hantaran lintang Heberty Fernandes.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Yusri Che Lah menggandakan asakan dan berjaya mencipta satu peluang pada minit kesembilan menerusi tandukan Seo Seonung namun dinafikan oleh penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.

Keghairahan pasukan Perak untuk menyamakan kedudukan dihukum oleh barisan penyerang JDT apabila Arif Aiman Mohd Hanapi berjaya meloloskan diri dari perangkap ofsaid dan melakukan satu lambungan untuk menewaskan penjaga gawang Perak, Muhammad Farhan Abdul Majid, lima minit selepas itu.

Perak terus mencatur gerakan menerusi pemain tengah, Muhammad Azalinullah Mohamed Alias, yang berjaya beberapa kali mencipta peluang namun barisan penyerang gagal melakukan penyudahan.

Bersambung babak kedua, Perak dilihat lebih banyak menguasai perlawanan namun JDT berjaya menjarakkan kedudukan pada minit ke-76 menerusi tandukan Shahrul Saad hasil sepakan penjuru.

Bermain di hadapan 21,613 penyokong pemain The Bos Gaurus berjaya menembusi gawang gol JDT apabila Luciano Guaycochea merembat kencang menewaskan Ahmad Syihan pada minit ke-75.

JDT membuat pertukaran apabila mengeluarkan Arif Aiman serta memasukkan Muhammad Nazmi Faiz Mansor dan hasilnya berjaya menambah jaringan keempat buat JDT pada minit ke-81. - BERNAMA