SPORTS
Jelajah Manchester United: Satu penghormatan besar - Presiden FAM
Selepas 16 tahun, The Red Devils kembali memeriahkan suasana dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan ASEAN All Stars. - Stadium Astro
PENGANJURAN jelajah pramusim Manchester United di Malaysia merupakan detik berharga buat peminat untuk menonton kelab tersohor Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) 28 Mei ini.
Selepas 16 tahun, The Red Devils kembali memeriahkan suasana dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan pilihan Asia Tenggara -- ASEAN All Stars di bawah bimbingan jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menyifatkan kehadiran semula gergasi terkemuka dunia itu sebagai simbol bermakna buat perkembangan sukan nombor satu tanah air.
“Perlawanan ini istimewa buat Malaysia kerana ia adalah eksklusif untuk Malaysia di rantau ASEAN.
"Menjadi tuan rumah buat sebuah kelab sebesar Manchester United adalah detik yang sangat bermakna untuk bola sepak Malaysia dan ASEAN.
"Perlawanan ini bakal membawa budaya bola sepak yang semakin berkembang di rantau ini.
"Kami menyeru penyokong untuk hadir memenuhi stadium dan sama-sama memberi laungan semangat yang tidak dapat dilupakan," katanya. -- Stadium Astro
#Manchester United
#jelajah pramusim
#ASEAN All Stars
#Stadium Nasional Bukit Jalil
#Mohd Joehari Mohd Ayub