Jelajah Messi di India tamat dengan lancar selepas kekecohan di Kolkata

Messi (tengah), bersama rakan sepasukan Rodrigo De Paul (dua dari kanan) dan Luis Suárez (tiga dari kanan) bergambar bersama pemain bola sepak tempatan dan yang lain semasa jelajah mereka di New Delhi, India. - Foto AP
NEW DELHI: Jelajah tiga hari Lionel Messi di India berakhir dengan suasana meriah dan terkawal di New Delhi pada Isnin, menutup tirai lawatannya yang bermula dengan kekecohan di Kolkata.
Ribuan peminat membanjiri Stadium Arun Jaitley di ibu negara untuk menyaksikan bintang bola sepak Argentina dan pemain Inter Miami itu beraksi secara santai bersama rakan sepasukan, Luis Suárez dan Rodrigo De Paul.
Messi meluangkan masa berinteraksi dengan peminat, menendang bola ke arah penonton, bermain bersama kanak-kanak dan menandatangani autograf, sambil namanya dilaungkan penuh semangat.
Namun, permulaan jelajah yang dinamakan “GOAT India Tour” itu dicemari insiden huru-hara di Stadium Salt Lake, Kolkata, apabila peminat yang kecewa kerana tidak dapat melihat Messi bertindak merosakkan kemudahan stadium.
Tiga individu telah ditahan oleh polis Bidhannagar berhubung kejadian vandalisme tersebut.
Penganjur acara, Shatadru Datta, turut ditahan atas dakwaan salah urus acara yang menyebabkan kekecohan.
Messi dilaporkan meninggalkan lokasi lebih awal daripada jadual asal selepas keadaan menjadi tidak terkawal.
Walaupun jadualnya padat dan penerbangannya ke Delhi tertangguh akibat kabus tebal, Messi tetap menghadiri pelbagai acara promosi di Kolkata, Hyderabad dan Mumbai.
Di Kolkata, beliau turut melancarkan secara maya patung setinggi 21 meter yang dibina khas untuk menghargai sumbangannya dalam dunia bola sepak.
Kunjungan ini merupakan yang pertama oleh Messi ke India sejak 2011, dan walaupun bermula dengan cabaran, ia berakhir dengan sambutan hangat dan penuh emosi daripada peminat di seluruh negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


