Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
SUKAN

Jepun bangkit penuh gemilang tumbangkan Brazil buat kali pertama

Astro Arena 15/10/2025 | 01:20 MYT
Gabriel Martinelli (tengah) bersedia untuk menendang bola ketika perlawanan persahabatan antara Jepund dan Brazil di Tokyo, 14 Okt 2025. (Foto AP)
JEPUN bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menundukkan Brazil 3-2 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Ajinomoto malam tadi.

Brazil terlebih dahulu melakukan asakan bertali arus ke gawang tuan rumah dan berhasil memecahkan kebuntuan pada minit ke-26 apabila Paulo Henrique menemui lorongan Casemiro sebelum meledakkan rembatan rendah ke jaring Jepun.

Gabriel Martinelli kemudian menggandakan kelebihan itu sebelum menuju ke bilik persalinan dengan rembatan kaki kirinya pada minit ke-32.

Bagaimanapun, arus perlawanan itu berubah 180 darjah dalam separuh masa kedua untuk Jepun menghasilkan tiga gol bermula dengan jaringan Takumi Minamino, yang memanfaatkan kesilapan pertahanan Brazil, pada minit ke-52.

10 minit berselang, Keito Nakamura melepaskan penyudah voli, yang gagal ditampan keluar pertahanan Brazil, untuk Jepun mengikat kedudukan 2-2.

Aksi Ayase Ueda (kanan) berebut bola dengan Joelinton ketika perlawanan persahabatan antara Jepun dan Brazil di Tokyo, 14 Okt 2025. (Foto AP)


Ayase Ueda kemudian muncul wira Jepun apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-71 dengan tandukannya menewaskan Hugo Souza.

Sebagai rekod, ia merupakan kali pertama Jepun menewaskan Brazil selepas 14 percubaan sebelum ini.







#Jepun #Brazil #perlawanan persahabatan #Ayase Ueda