KUALA LUMPUR: Jerman menamatkan kemarau sedekad untuk mencipta sejarah apabila menjulang trofi Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) buat kali ketujuh dengan menewaskan Perancis 2-1 pada final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Ia juga merupakan kemenangan JWC keempat Jerman di bumi Malaysia, selepas merangkul tiga kejuaraan sewaktu edisi Kuala Lumpur 1982, Ipoh 1989 dan Johor Bahru 2009 selain pernah muncul juara pada edisi 1985, 1993 dan 2013.

Jerman menebus kekecewaan 0-2 kepada Perancis pada perlawanan peringkat kumpulan minggu lepas.

Pada perlawanan ulangan final edisi New Delhi 2013, Perancis, pasukan ranking ketujuh dunia, mendahului menerusi jaringan padang oleh Jules Verrier pada minit ke-17, dalam percubaan untuk membalas dendam atas kekalahan 5-2, 10 tahun lalu.

Jerman, bagaimanapun, mengubah rentak permainan pada babak kedua apabila Jan Cordes merampas bola daripada pemain pertahanan Perancis untuk menyamakan kedudukan menerusi gol pada minit ke-32.

Liam Holdermann menghadiahkan gol kemenangan Jerman menerusi jaringan padang pada minit ke-40 untuk mengesahkan kejuaraan buat gergasi Eropah itu.

Pasukan Les Bleus, dengan pencapaian terbaik muncul naib juara pada edisi 2013, meningkatkan rentak permainan menerusi gerakan pantas pada tiga minit terakhir perlawanan tetapi gagal menebusi bentang pertahanan Jerman.

Jerman layak ke final selepas menumpaskan India 4-1 manakala Perancis mengalahkan Sepanyol 3-1 pada saingan separuh akhir , Khamis lalu.

Holdermann, 20, berkata ia adalah kemenangan yang penuh emosi selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Institut Sukan Negara (ISN) sejurus sebelum kemenangan 5-3 menentang Afrika Selatan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B, 5 Dis lalu.

"Saya rasa bukan hari yang baik kerana ia sangat sukar tetapi saya tidak sedar saya menjaringkan gol kemenangan. Selepas rehat, kami datang dengan mentaliti bahawa kami perlu memberi tekanan dan bermain dengan lebih baik.

"Sungguh sukar dipercayai kami telah menjadi juara dalam JWC pertama saya," kata pemain kelahiran Berlin itu kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Sementara itu, ketua jurulatih Perancis, Matthias Dierckens berkata, anak buahnya hilang penguasaan bola dan mendapati ia lebih mencabar untuk menembusi bulatan pada separuh masa kedua.

"Saya rasa pemain kami sedikit keletihan dan terlepas beberapa perkara, kehilangan lebih banyak bola pada separuh masa kedua. Mungkin ada yang mengatakan anda pasti berpuas hati dengan pingat, tetapi tidak, kami sedih kerana tidak dapat memenangi Piala Dunia," katanya.

Pada edisi 2021 di Bhubaneswar, India, Argentina menewaskan Jerman 2-1 pada final manakala Perancis menang pingat gangsa dengan menewaskan India 3-1.

Terdahulu, perlawanan final yang dijadualkan pada jam 8.30 malam itu ditangguhkan sejam kerana hujan lebat sebelum perlawanan pingat gangsa antara Sepanyol dan India yang bermula pada jam 7 malam berbanding jadual awal jam 6 petang.

Sementara itu, Sepanyol mengulangi pencapaian terbaik mereka yang pernah menduduki tempat ketiga dalam JWC pada edisi 2005 di Rotterdam, Belanda, selepas mengejutkan India 3-1 dalam perlawanan menentukan tempat ketiga.

Sepanyol, pasukan ranking keenam dunia, menjaringkan tiga gol padang menerusi dua gol Nicolas Alvarez pada minit ke-25 dan ke-51, dan Pau Petchame pada minit ke-40.

Juara 2001 dan 2016, India, mendapat gol sagu hati menerusi pukulan sudut penalti Sunil Jojo pada minit ke-28 untuk berpuas hati dengan penamat tempat keempat sekali lagi selepas edisi terakhir di Bhubaneswar.

Ketua pasukan Perancis, Gaspard Xavier dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan dan bintang yang semakin meningkat manakala Hugo Labouchere dari Belgium muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan sembilan gol.

Penjaga gol terbaik disandang Joshua Onyekwue Nnaji dari Jerman.

Trofi dan pingat disampaikan oleh Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Datuk Tayyab Ikram dan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal. - BERNAMA