Jerman kalah lagi

Astro Awani
Oktober 14, 2018 00:31 MYT
Pemain Jerman, Emre Can beraksi bersama pemain Belanda, Memphis Depay dalam perlawanan Kumpulan A1, Liga Negara-negara UEFA di Arena Johan Cruijff, Amsterdam, 13 Okt, 2018. REUTERS
DUO Liverpool, Virgil Van Dijk dan Giorginio Wijnaldum, meledak dalam perlawanan Kumpulan A1 Liga Negara-Negara UEFA awal pagi tadi untuk menolak Jerman ke dasar.
Belanda menang 3-0, dan pastinya ia menjadi satu lagi tamparan buat pengendali Jerman, Joachim Low.
Van Dijk membuka tirai jaringan pada minit ke-30 daripada tendangan sudut Memphis Depay.
Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Gol kedua perlawanan kemudian hanya hadir ketika perlawanan berbaki empat minit menerusi Depay dari serangan balas pantas yang dimulakan Quincy Promes.
Wijnaldum menambah luka juara dunia empat kali itu apabila rembatan leretnya ke hujung gawang gagal diselamatkan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer ketika tiga minit masa tambahan.
Ia menjadi kekalahan kesembilan Jerman daripada 12 perlawanan terakhir mereka di bawah kendalian Low.
Sementara Belanda yang dipimpin bekas pengurus Everton, Ronald Koeman, berada di tangga kedua Kumpuan A1 di bawah Perancis.
#Belanda #Jerman #Joachim Low #Kumpulan A1 #Liga Negara-Negara UEFA #Memphis Depay #UEFA #Virgil Van Dijk