SUKAN
Jika Indonesia lawan Malaysia, Indonesia tidak akan mampu bersaing - Pengulas Vietnam

Pengulas sukan Vietnam, Quang Huy, terkejut dengan peningkatan ketara skuad kebangsaan Malaysia dan tidak menjangkakan pasukannya akan tewas besar kepada Harimau Malaya.
PENGULAS sukan Vietnam, Quang Huy, terkejut dengan peningkatan ketara skuad kebangsaan Malaysia dan tidak menjangkakan pasukannya akan tewas besar kepada Harimau Malaya.
Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan F, pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Selasa lalu.
Kehadiran tujuh pemain warisan baru menyaksikan Vietnam tidak lagi dapat bersaing dengan Malaysia, di mana segala perancangan permainan mereka dapat digagalkan benteng negara, yang diketuai Matt Davies.
Sebelum perlawanan, Quang Huy berasakan Naga Emas akan dapat mengimbangi skuad negara biarpun dengan corak bertahan tetapi melihat kepada aksi di atas padang, dia akui terlalu sukar untuk pasukan negaranya untuk menandingi kekuatan Malaysia."Saya benar-benar tidak dapat meramalkan pasukan saya akan tewas. Saya berkata bahawa seri itu sangat bertuah dan jika ia seri, saya cenderung katakan ia akan terikat tanpa jaringan, bermakna kedua-dua pasukan akan menemui jalan buntu," katanya seperti dilaporkan Soha.vn
"Dalam erti kata lain, Vietnam mengambil inisiatif bertahan untuk meletakkan perlawanan itu dalam kebuntuan.
"Bagaimanapun, hati saya kemudian berharap kami cuma kalah dengan jaringan yang tipis, saya rasa pemain Malaysia boleh dikatakan sangat kuat.
"Mereka pemain yang benar-benar "superstar" dari negara seperti Argentina, Brazil, Sepanyol dan beberapa negara Eropah yang lain. Pemain ini semuanya mempunyai pengalaman bermain dalam pasukan teratas negara tersebut, bukan hanya pemain yang datang ke Vietnam untuk bermain.
"Sejujurnya, sebelum perlawanan, terdapat rasa optimis bahawa pemain pertahanan kita akan dapat berdepan pemain Malaysia yang berasal dari Eropah dan Amerika Latin kerana mereka sudah biasa dengan pemain asing dalam V League.
"Bagaimanapun, pemain asing dalam V League selalunya tidak mempunyai banyak pengalaman bermain di peringkat tertinggi kejohanan di Brazil atau Argentina sedangkan pemain lawan ini semuanya benar-benar pemain profesional.
"Mereka juga mempunyai jurulatih yang sangat baik, persis (Ange) Postecoglou (bekas pengurus Tottenham), bermakna pemain mereka mungkin bertemu buat kali pertama tetapi dipimpin oleh jurulatih dengan gaya permainan yang secara terus, sangat agresif dan memandang ke depan. Mereka tahu bahawa tahap individu mereka lebih baik, bukan sahaja dalam kesebelasan utama tetapi juga ramai pemain gantian yang sangat bagus," katanya.
Quang Huy juga berpandangan skuad Malaysia ketika ini lebih bagus daripada Indonesia.
"Jika Malaysia menentang Indonesia, saya mempunyai perasaan bahawa Indonesia tidak akan mampu bersaing. Malaysia mempunyai pemain yang lebih baik dan bermain bola sepak secara terus dengan gaya Eropah," katanya lagi. - Stadium Astro
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami