TENGKU MAHKOTA JOHOR Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim hari ini meminta peminat bola sepak untuk menghargai kemenangan yang dicapai oleh sesuatu pasukan daripada merungut kekalahan mereka.

Menerusi satu kenyataan Facebook hari ini, TMJ menjawab semua rungutan peminat pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) susulan kekalahan pasukan itu dalam beberapa kejohanan baru-baru ini.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran peminat JDT untuk merungut seolah-olah mereka tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan sebelum ini.

“Bola sepak Johor telah 'tidur' dan tidak memenangi sebarang kejuaraan sejak 24 tahun yang lalu. Kemudian selepas saya hadir, penyokong mula datang dan kami memenangi tujuh piala dalam masa tiga tahun setengah.

“Tahun ini pula kami kurangkan bajet dan kami sudah tewas/hilang dua piala tetapi apa masalahnya? Penyokong mula merungut berkaitan pasukan musim ini tidak bagus tetapi mereka lupa pasukan sekarang berada di tangga pertama liga, melangkah ke suku akhir Piala FA, dan pasukan kita bertanding merebut Piala Sumbangsih, dimana pasukan lain langsung tidak bertanding untuk Piala Sumbangsih.

“Pada masa ini kami mungkin mempunyai peluang yang cukup baik untuk layak ke peringkat 'knock-out' AFC, yang merupakan satu lagi pencapaian. Tetapi saya hairan dengan ramai penyokong Johor yang masih merungut, seolah-olah mereka selalu memenangi kejuaraan sejak 24 tahun yang lalu,” soal TMJ.

Tambah beliau, walaupun tahun ini pencapaian pasukan JDT tidak begitu baik tahun ini, tetapi beliau masih merasa bangga untuk menjadi penyokong pasukan itu.

“Apakah akan terjadi jika Johor tidak memenangi sebarang piala tahun ini? Apakah akan terjadi jika Johor tidak memenangi sebarang piala untuk dua tahun akan datang? Tiga tahun? Empat tahun? Saya tidak peduli. Saya masih akan memakai warna Johor dengan rasa bangga, saya masih mahu berada di belakang kelab. Pada penghujungnya, kami masih kelab yang paling popular di negara ini.

“Kami telah menerima pelbagai pengiktirafan, dari setiap organisasi AFC, World Football Summit (WFS), malah diikuti oleh 1.7 juta peminat dan jumlah penyokong yang semakin meningkat di negara ini. Oleh itu, kesudahannya adalah perlunya kita berfikir secara positif.

“Saya tidak tahu mengapa penyokong merungut tentang ini, jika anda tidak boleh menerima kekalahan, jangan menyokong bola sepak, pergilah lakukan sesuatu yang lain. Ini adalah sukan yang mana ada menang dan ada kalah.

"Ini adalah hanya sukan, namun bagi saya yang sayangkan Johor, yang sayangkan negeri ini, yang sayangkan JDT, saya mahu berdiri di belakang pasukan saya. Saya tidak peduli sama ada kita menang atau kalah,” ujarnya lagi.

“Anda tidak mahu berdiri di belakang pasukan apabila mereka kalah? Itu terpulang. Tidak mengapa. Tetapi sekurang-kurangnya ada masanya kita perlu melihat dalam diri kita melalui cermin dan tanya diri sendiri, bilakah kita mempunyai kejayaan?