SUKAN

Johor atasi Negeri Sembilan dalam bola sepak Liga Super

Astro Awani 03/03/2013 | 02:40 MYT
Dalam bola sepak Liga Super, kelab sensasi, Johor Darul Takzim mempamer kebangkitan sebelum mengatasi Negeri Sembilan 2-1 di gelanggang sendiri.

Kemenangan itu menjadikan Johor pendahulu baru Liga selepas mengumpul 16 mata daripada sembilan perlawanan.

Masih segar dengan kejayaan dramatik dalam saingan pusingan kedua piala FA tempoh hari, skuad Harimau Selatan bermula baik.

Namun mereka dikejutkan dengan jaringan pelawat menerusi Rashid Mahmud pada minit ke-29.

Skuad kendalian Fandi Ahmad tampil dengan aksi lebih tersusun di babak kedua.

Hasilnya Kamarul Afiq Kamaruddin menjadikan kedudukan satu-sama pada minit ke-83.

Nurul Azwan Roya kemudian menjadi wira Johor dengan menjaringkan gol kemenangan lewat perlawanan.

Pertemuan antara Felda United dan Lions Twelve di stadium MBPJ berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Lions terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-63 selepas tonggak pertahanan, Baihakki Khaizan dibuang padang akibat menerima kad kuning kedua.

Satu mata yang diraih menyaksikan Lions kini berkongsi tangga kedua dengan 15 mata bersama Angkatan tentera Malaysia (ATM).

Satu lagi pertemuan di Shah Alam menyaksikan PKNS Selangor tewas 0-2 kepada Terengganu.
#bola sepak Liga Super #Johor Darul Takzim