SPORTS
Johor lantik legenda All Blacks Sonny Bill Williams sebagai duta sukan
Legenda sukan ragbi Sonny Bill Williams (kanan) bercakap kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian sebagai Ikon Sukan Johor hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Juara dua kali Piala Dunia Ragbi, Sonny Bill Williams sah dilantik sebagai Duta Sukan Johor.
Ringkasan AI
- Sonny Bill Williams dilantik sebagai Duta Sukan Johor untuk memberi inspirasi dan memupuk budaya sukan di negeri tersebut.
- Williams akan terlibat dalam program pembangunan dan klinik sukan untuk membantu atlet muda di Johor.
- Pelantikan ini mencerminkan komitmen Johor dalam memperkasakan kecemerlangan sukan dan memberi inspirasi kepada generasi atlet masa depan.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) Mohd Ekmaluddin Ishak berkata pelantikan legenda All Blacks itu merupakan satu pencapaian penting yang mencerminkan komitmen negeri dalam memperkasakan kecemerlangan sukan serta memberi inspirasi kepada atlet masa depan.
"Beliau akan memainkan peranan sebagai duta kecemerlangan dan disiplin sukan, serta menjadi sumber inspirasi kepada atlet muda di seluruh Johor.
"Beliau juga akan terlibat secara aktif dalam program pembangunan, klinik sukan dan inisiatif bimbingan bagi memupuk budaya sukan yang kukuh di negeri ini," katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian antara MSNJ dan Williams di sini hari ini.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah.
Sementara itu, William mengucapkan perghargaan atas pelantikannya sebagai ikon sukan Johor dengan harapan peranannya dapat memberi inspirasi kepada generasi atlet seterusnya di negeri berkenaan.
Beliau juga mengakui visi Pemangku Raja Johor Tunku Mahkota Ismail dalam bidang sukan serta rakyat Johor, yang mendorong beliau menerima peranan itu.
Williams, 39, yang meraih 58 kaps bersama pasukan New Zealand, merupakan sebahagian daripada pasukan yang menjuarai Piala Dunia pada 2011 dan 2015.
Bulan lepas, Tunku Mahkota Ismail mengumumkan beberapa ikon sukan akan dilantik sebagai Duta Sukan Johor termasuk Datuk Lee Chong Wei, Khabib Nurmagomedov dan Tim Cahill.
-- BERNAMA