[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
SUKAN

Jojo bangga Miki cipta sensasi emas Sukan SEA pada usia 16 tahun

Bernama 17/12/2025 | 14:51 MYT
Miki (tengah) berdepan cabaran besar apabila terpaksa bersaing dengan lawan jauh lebih berpengalaman berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun. - Bernama
BANGKOK: Jaguh Muay Thai negara Muhammad Johan Ghazali Zulfikar menyifatkan kejayaan adiknya Muhammad Mikail Ghazali merangkul pingat emas kategori 57 kilogram (kg) pada Sukan SEA Thailand 2025 sebagai pencapaian luar biasa terutama mengambil kira usia muda atlet itu.

Muhammad Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo berkata Muhammad Mikail yang berusia 16 tahun berdepan cabaran besar apabila terpaksa bersaing dengan lawan jauh lebih berpengalaman berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Menurut Jojo, kejayaan dilakar Muhammad Mikail atau lebih dikenali sebagai Miki, wajar mendapat penghargaan kerana tidak semua atlet mampu mencapai tahap berkenaan pada usia yang begitu muda.

"Jojo betul-betul bangga sebab orang kena faham Miki baru berumur 16 dan dia lawan orang yang hampir dua kali ganda umur dia. Untuk menang emas Sukan SEA pada usia sebegitu memang sesuatu yang sangat bermakna dan bukan mudah.

"Tak senang nak sampai ke tahap ini. Jadi sekarang Miki memang boleh bangga dengan diri dia. Elias (abang Muhammad Elias Ghazali) tak ada emas, Jojo pun tak ada emas, tapi Miki ada emas Sukan SEA," katanya ketika ditemui di Stadium Tinju Lumpinee di sini hari ini.



SEA-MUAY THAI (JOJO) 2 BANGKOK



Jojo adalah anak kedua daripada empat beradik termasuk adik perempuan Emylia Ghazali yang turut menceburi sukan Muay Thai.

Beliau yang juga atlet profesional hadir di sini bagi menemani adiknya dalam misi mengharumkan nama Malaysia.

Pada pertarungan hari ini, Miki yang membuat penampilan sulung Sukan SEA, mencipta sensasi meraih emas selepas menundukkan atlet tuan rumah Suphakon Sirilun 29-28 dalam pertarungan tiga pusingan, walaupun berdepan sorakan padu penonton tuan rumah.

Miki tidak dapat menahan kegembiraannya apabila mengalirkan air mata sepanjang sesi temu bual bersama media tempatan.

"Siapa yang tak menangis lepas menang emas Sukan SEA. Lagi-lagi saya baru 16 tahun. Syukur alhamdulillah," katanya yang membuat persediaan rapi selama dua bulan di sini sebelum bertanding.



SEA-MUAY THAI (JOJO) 3 (AKHIR) BANGKOK



Selain kejayaan Miki, kem Muay Thai negara juga meraih emas masing-masing menerusi Wassof Rujiman dalam kategori 54kg lelaki dan Angie Yan Jia Chi yang mengungguli final Wai Kru wanita dengan menewaskan juara dunia dari Thailand, Thanawan Thongduang.

Malaysia turut merangkul tiga perak menerusi Eva Anatasia Warren dalam kategori 48kg wanita, Insyad Rumijam (51kg lelaki) dan Nur Amisha Azrilrizal dalam saingan 51kg wanita.

Pencapaian tiga emas dan tiga perak menyaksikan peningkatan dicatat kem negara selepas hanya mengutip masing-masing satu emas dan perak pada edisi 2021 di Vietnam sebelum acara Muay Thai tidak dipertandingkan pada edisi 2023 di Kemboja.

-- BERNAMA


#Sukan SEA #Miki #Muhammad Mikail Ghazali #pingat emas #Muhammad Johan Ghazali #Jojo