Jose Mourinho meterai kontrak lanjutan dengan Manchester United sehingga 2020

Astro Awani
Januari 25, 2018 21:13 MYT
Jose Mourinho berkata ia merupakan satu penghargaan untuk mengetahui dia akan bekerja bersama pemain Manchester United untuk tempoh tiga tahun lagi. - Gambar fail
PENGURUS Manchester United Jose Mourinho memeterai lanjutan kontrak sehingga 2020, dengan pilihan tambahan satu tahun.
Kontrak pengendali berusia 54 tahun itu di Old Trafford sebelum ini dijadual tamat pada 2019.
Menurut Mourinho, beliau gembira, kerana United terus memberi kepercayaan kepada beliau untuk mengemudi kelab itu ke arah masa depan lebih cemerlang.
"Saya mahu ucapkan terima kasih kepada pemilik kelab dan Ketua Eksekutif Manchester United, Ed Woodward," kata Mourinho.
Mourinho dilantik menggantikan Louis van Gaal pada Mei 2016.
Satu musim mengendalikan The Red Devils, Mourinho berjaya memimpin kelab itu untuk menang Piala Liga Inggeris (EFL) dan Liga Eropah.
Kelab itu kini menghuni tangga kedua Liga Perdana Inggeris di belakang Manchester City, dan masih berada dalam persaingan Liga Juara-juara (UCL) serta Piala FA.
"Kita telah menetapkan standard yang tinggi, menang tiga trofi dalam satu musim, ia memenuhi semua jangkaan saya.
"Kami mewujudkan masa depan lebih cerah dengan Manchester United. Saya hargai pemain-pemain saya dan satu penghargaan untuk mengetahui kami akan bekerja bersama untuk tempoh tiga tahun akan datang," tambah Mourinho.
Sementara itu, Woodward memuji Mourinho yang disifatkan mempunyai tahap profesionalisme yang luar biasa.
Mourinho juga dianggap bakal berjaya terus menyuntik kejayaan kepada kelab dan seterusnya membawa kepuasan kepada peminat.
#2016 #EFL #EPL #Jose Mourinho #Liga Perdana Inggeris #Louis van Gaal #Manchester City #Manchester United #Piala FA #Piala Liga Inggeris