KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan slot kedua Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menjadi milik juara Piala Malaysia musim ini manakala satu lagi slot bakal diberikan kepada naib juara Liga Super.

MFL dalam kenyataannya berharap tiada kekeliruan timbul berhubung penentuan slot AFC 2023 memandangkan pemakluman menerusi surat pekeliling sudah dihantar kepada semua pasukan bertanding sebelum musim 2022 bermula.

Berdasarkan pemakluman itu, terdapat tiga pilihan iaitu pertama juara Liga Super akan diberikan tiket ke saingan Liga Juara Juara Asia (ACL) manakala juara Piala FA dan tempat kedua Liga Super akan beraksi di Piala AFC.

Pilihan kedua pula, jika juara Liga Super dan juara Piala FA adalah pasukan sama maka satu slot ke Piala AFC akan diberikan kepada juara Piala Malaysia musim ini bersama naib juara Liga Super.

Menurut pilihan ketiga menyaksikan jika juara Liga Super, juara Piala FA dan juara Piala Malaysia 2022 adalah pasukan sama atau Piala Malaysia dimenangi naib juara Liga Super, maka pasukan di tangga ketiga Liga Super akan bermain di Piala AFC musim depan.

"Oleh itu, pasukan yang memperoleh slot kedua ke Piala AFC 2023 hanya boleh ditentukan selepas berakhirnya Piala Malaysia 2022," menurut MFL.

Bagaimanapun, MFL memaklumkan slot pasukan ke kejohanan AFC itu adalah berdasarkan kelab yang memperoleh Lesen Kelab AFC untuk musim 2023.

Sementara itu, berdasarkan pemakluman MFL, saingan terakhir Liga Super malam ini bakal sengit membabitkan tiga pasukan iaitu Sabah yang menduduki tangga kedua liga dengan 42 mata, diikuti Terengganu FC (41 mata) dan Negeri Sembilan FC (41 mata) untuk merebut tempat selaku naib juara.

Sabah akan berdepan juara Liga Super 2022 Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Terengganu pula bertandang ke Stadium Darul Aman berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA) manakala Negeri Sembilan bertemu Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

-- BERNAMA