JURU arah rali terkenal tempatan, Jagdev Singh yang meraih banyak kejayaan bersama pemandu legenda Karamjit Singh meninggal dunia pada Isnin ketika usia 55 tahun.

Difahamkan Jagdev dimasukkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya akibat gastrousus pada 12 Julai lalu.

Berita sedih itu diumumkan dalam satu hantaran akaun Facebook miliknya oleh saudara terdekat.

“Dengan berat hati kami ingin mengatakan bahawa Jagdev telah meninggal dunia petang ini (Isnin). Dia dikelilingi oleh kasih sayang ketika dia melalui penghujung kematian dengan kemenangan,” catat hantaran tersebut.

Kehilangan Jagdev turut menyentuh perasaan Karamjit yang melalui banyak perkara bersama.

“Kehidupan saya lebih seronok, lebih berwarna-warni dan lebih lengkap di sampingnya,” katanya.

Jagdev merupakan antara juru arah terbaik dalam Malaysia dan pernah bekerjasama dengan pemandu-pemandu rali terkenal di peringkat antarabangsa.

Pada era 90-an, Jagdev pernah bergandingan dengan pemandu Australia, Russell Palmer yang memandu Suzuki Swift GTi dan Proton Satria Group A untuk pasukan Silverstone Rally Team Malaysia.

Jagdev yang juga dikenali sebagai Jack dan mendapat julukan 'The Hooligan' memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Cisco Racing yang ditubuhkan pada tahun 2021 sebagai tanda kemunculan semula Karamjit.

Tahun lalu, Jagdev dan Karamjit meraih 12 trofi dalam tiga perlumbaan di Indonesia dan lebih mengujakan mereka menggunakan kereta Proton berusia 16 tahun.

Beliau bersara daripada rali pada 2015 selepas 30 tahun bergelumang dalam perlumbaan tetapi kembali ke sukan itu apabila Cisco Racing ditubuhkan.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian