SUKAN

Jurulatih meninggal dunia selepas rebah semasa perlawanan di Serbia

Bernama 04/11/2025 | 22:10 MYT
Mladen Zizovic meninggal dunia selepas rebah ketika perlawanan Liga Super Serbia pada Isnin, 3 Nov 2025. - Foto Facebook Everything Soccer
LONDON: Jurulatih dari Bosnia, Mladen Zizovic, meninggal dunia selepas rebah ketika perlawanan Liga Super Serbia pada Isnin, lapor PA Media/dpa.

Zizovic, 44, yang merupakan Ketua Jurulatih FK Radnicki 1923, menerima rawatan perubatan pada pertengahan babak pertama perlawanan menentang Mladost Lucani sebelum dikejarkan ke hospital.

Perlawanan itu disambung semula tetapi kemudian tidak diteruskan selepas berita kematian Zizovic yang baru dilantik sebagai Pengurus Radnicki pada 23 Okt lepas, disahkan.

Rakaman di media sosial menunjukkan pemain-pemain menangis di padang.

Persatuan Bola Sepak Serbia dalam kenyataan di platform X berkata: "Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat seluruh komuniti bola sepak.

"Persatuan Bola Sepak Serbia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Zizovic, warga FK Radnicki 1923 serta semua rakan dan peminat yang menghargai keperibadian serta sumbangannya. Bersemadilah dengan tenang, Mladen. Cinta anda terhadap bola sepak dan jasa yang ditinggalkan akan kami kenang selamanya."

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

-- BERNAMA


#Serbia #jurulatih meninggal dunia #Mladen Zizovic #bola sepak