Justin tambah gelaran senior ketiga di Cabaran Antarabangsa Malaysia

Bernama
Disember 19, 2022 01:00 MYT
Aksi Justin ketika bermain menentang Aidil Sholeh dalam kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia di Arena Badminton Perak, Ipoh, 18 Dis 2022. - Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Bintang badminton dalam pembikinan Justin Hoh, mencipta sensasi meraih gelaran senior ketiganya, selepas muncul juara pada kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh, Perak semalam.
Pada aksi final perseorangan lelaki berlangsung di Arena Badminton Perak itu, Justin terdahulu diberi tentangan sengit, tewas set pertama di tangan rakan senegara Aidil Sholeh Ali Sadikin, sebelum bangkit mengesahkan kemenangan dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-16, 21-17.
Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan pemain muda berusia 18 tahun itu, meraih gelaran ketiga dalam karier seniornya, selepas muncul juara di Bonn International 2022 di Jerman serta Terbuka Croatia pada Jun lepas.
Sementara itu, impian beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bagi menambah koleksi kedua kejuaraan antarabangsa mereka berkecai, selepas tewas di tangan rakan senegara Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing.
Tang Jie-Ee Wei yang baru digandingkan dan muncul juara pada Cabaran Antarabangsa Bangladesh pada Ahad lepas, menang di set pertama 21-18 namun gagal meneruskan momentum kemenangan sebelum tumpas di set kedua dan set penentuan 15-21, 19-21, dalam perlawanan berlangsung selama 51 minit itu.
Sementara itu, aksi perseorangan wanita menyaksikan wakil negara K. Letshanaa, tewas straight set di tangan Yulia Yosephine Susanto dari Indonesia 16-21, 19-21 di aksi final.
-- BERNAMA
#badminton #Justin Hoh #Aidil Sholeh Ali Sadikin #cabaran antarabangsa malaysia