K Devan tinggalkan Kelantan, KAFA bakal umum pengganti

Astro Arena
Mei 12, 2016 02:01 MYT
Di bawah bimbingan Devan, The Red Warriors gagal bangkit daripada kekecewaan apabila kini menduduki tangga keenam Liga Super. - Gambar fail
MASA depan K. Devan bersama skuad Kelantan akhirnya terjawab, apabila jurulatih itu meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.
Teka-teki mengenai nasib Devan bersama juara 'treble' 2012 itu akhirnya menemui noktah apabila jurulatih berusia 55 tahun itu menyerahkan surat perletakan jawatannya lewat petang semalam.
Difahamkan, surat tersebut diserahkan kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang menerima keputusan Devan untuk tidak lagi meneruskan khidmatnya.
Devan yang memulakan tugasnya di Kota Bharu memberi alasan peribadi untuk mengundur diri dan berterima kasih kepada seluruh pengurusan KAFA.
Di bawah bimbingan Devan, The Red Warriors gagal bangkit daripada kekecewaan apabila kini menduduki tangga keenam Liga Super dengan hanya meraih 10 mata daripada 12 perlawanan.
Kelantan juga tersingkir dari saingan Piala FA selepas tewas kepada Kedah dalam pusingan ketiga.
Devan merupakan jurulatih kelima dalam saingan Liga Super yang meninggalkan pasukan, sama ada meletak jawatan ataupun direhatkan, musim ini.
KAFA akan membuat kenyataan rasmi dalam masa terdekat serta mengumumkan pengganti Devan.
#bola sepak Kelantan #jurulatih #K. Devan #letak jawatan #skuad bola sepak #The Red Warriors