SUKAN

Kalah 0-11 kepada Croatia, Dollah Salleh tunggu laporan Malaysia B-16

Astro Arena 12/11/2025 | 04:15 MYT
Dollah menanti laporan penuh daripada pihak kejurulatihan yang diketuai Jorda Ribera untuk perkembangan lanjut.
SATU tamparan besar buat pasukan Malaysia Bawah 16 tahun (B-16) apabila mengalami kekalahan besar 0-11 kepada pasukan remaja Croatia dalam satu siri jelajah perlawanan persahabatan antarabangsa.


Ringkasan AI
  • Pasukan Malaysia Bawah 16 tahun (B-16) mengalami kekalahan besar 0-11 kepada pasukan remaja Croatia dalam siri jelajah perlawanan persahabatan antarabangsa, menarik perhatian peminat tempatan dan menjadi viral di media sosial.
  • Pengurus pasukan B-16, Datuk Dollah Salleh, menanti laporan penuh daripada kejurulatihan untuk mengetahui punca sebenar kegagalan tersebut.
  • Pasukan B-16 sedang bersedia menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2026 dengan menjalani latihan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sebelum menghadapi cabaran Kumpulan C di Hanoi, Vietnam.


Umum mengetahui bahawa 30 pemain dibarisi daripada akademi, mahupun pusat pembangunan bola sepak terkemuka negara termasuk penjaring terbanyak Piala Belia 2025 dari skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) IV, Arayyan Hakeem Norizam.

Ia sebagai persiapan bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2026 yang akan berlangsung dari 20 hingga 30 November ini.

Keputusan tersebut mencuri perhatian peminat tempatan sehingga tular di media sosial.

Pengurus pasukan B-16 kebangsan, Datuk Dollah Salleh, menanti laporan penuh daripada pihak kejurulatihan yang diketuai Javier Jorda Ribera untuk perkembangan lanjut.

"Saya baru sahaja bercakap dengan pasukan kejurulatihan dan sudah meminta laporan penuh mengenai apa yang berlaku dalam kekalahan besar itu. Kami hanya boleh memberi komen selepas mengetahui puncanya.

"Pasukan itu sebelum ini menyertai FIFA Youth Series di Zurich awal tahun ini dan beraksi dengan baik, menamatkan saingan di tempat kelima. Ia satu keputusan yang bagus memandangkan kami berdepan pasukan kuat," katanya kepada akhbar tempatan.

Ketika ini, skuad negara akan kembali menjalani latihan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sebelum ujian besar di Hanoi, Vietnam membabitkan cabaran Kumpulan C bertemu tuan rumah, Singapura, Hong Kong, Kepulauan Mariana Utara, dan Macau.

Malaysia B-16 pernah mara ke suku akhir edisi 2014, sekali gus menjadi pencapaian terbaik setakat ini.
Dalam masa sama, ubi muda negara juga pernah layak dalam edisi 2016, 2018 dan 2013. - Stadium Astro






#Dollah Salleh #Pasukan Malaysia B-16 #Crotia #punca kekalahan besar