'Kamu tetap pemenang di mata dan hati kami semua brother Al Jufferi' - Syed Saddiq

Ian Johan Ariff
Ogos 27, 2018 10:17 MYT
Mohd Al Jufferi Jamari (kiri) ketika membuat jatuhan ke atas pesilat Indonesia, Komang Harik Adi Putra dalam pencak silat lelaki akhir kelas E pada Sukan Asia 2018 di Padepokan Pencak Silat hari ini. Foto BERNAMA
“KAMU tetap pemenang di mata dan hati kami semua brother Al Jufferi.”
Berikut tweet Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman kepada pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari yang kalah kepada peserta tuan rumah, Koman Harik Adi Putra selepas menarik diri daripada perlawanan.
Tweet tersebut turut disertakan sebuah video yang menunjukkan Al Jufferi memohon maaf kepada Syed Saddiq atas kekalahannya itu.
Bagaimanapun, Syed Saddiq berpendapat Al Jufferi tidak perlu memohon maaf kerana beliau berdiri teguh bersama pesilat itu yang dianggap perwira negara.

Kamu tetap pemenang di mata dan hati kami semua brother Al Jufferi. Jangan sesekali minta maaf. NEVER. Saya tidak akan terima. Saya berdiri teguh bersama anda, pewira kita. Inshaallah, Allah will reward you in many more ways brother. #MalaysiaBoleh pic.twitter.com/mmGenfJRRC

— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) August 27, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam final kelas E yang berlangsung petang tadi, Al Jufferi, membuat keputusan untuk menarik diri di pertengahan aksi berdepan wakil tuan rumah, Komang Harik Adi Putra, berikutan rasa tidak puas hati dengan barisan juri yang didakwa berat sebelah.
Barisan lima juri dikatakan lebih banyak memberikan mata kepada wakil tuan rumah itu, tatkala banyak serangan yang dibuat Al Jufferi dalam final kelas E petang tadi.
Dalam temubual bersama wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, Al Jufferi berasa tidak puas hati dengan juri dua dan tiga kerana tidak mengadili perlawanan dengan baik.
"Ya, saya menarik diri kerana tidak berpuas hati dengan juri dua dan tiga kerana tidak mengadili perlawanan saya dengan baik bersama Komang Harik. Jadi, saya tidak boleh terima mutu pengadilan.
"Saya tidak menyalahkan Komang kerana dia adalah pesilat biasa seperti saya dan ingin mendapatkan emas, jadi dia tidak salah," kata Al Jufferi.
Al Jufferi juga menyatakan, pesilat Indonesia lain dan penyokong-penyokong tuan rumah tidak bukan masalah buatnya lantaran mereka hanya menjalankan tugas.
Jaguh negara itu menegaskan: "Yang salah hanyalah juri."
"Saya tidak berasa marah dengan mereka dan Komang Harik, sebaliknya marah dengan juri. Saya menarik diri kerana rasa tidak dihormati selaku seorang pesilat yang sering membawa cabaran Malaysia.
"Peluang untuk acara ini dibawa ke Sukan Asia atau Sukan Olimpik selepas ini akan terjejas kerana daripada segi pengadilan. Terus-terang, jika perkara ini berterusan, tak akan ada sukan silat.
"Saya berpuas hati dengan persembahan yang saya pamerkan, berbanding tiga saat yang dipermainkan," tambahnya.
#Astro Arena #Bazly Azmi #KBS #Mohd Al Jufferi Jamari #pencak silat #Sukan Asia 2018 #Syed Saddiq Abdul Rahman