SUKAN

Kane terus berbisa, Bayern benam Club Brugge 4-0

Astro Awani 23/10/2025 | 00:10 MYT
Gol ke-20 kapten England tersebut dalam hanya 12 penampilan bersama Bayern musim ini. Sebagai perbandingan, Lionel Messi pernah mencapai angka sama dalam 17 perlawanan, manakala Cristiano Ronaldo melakukannya dalam 13. - Foto REUTERS
TIADA siapa mampu menghalang Harry Kane ketika ini. Kapten England itu meneruskan prestasi luar biasa apabila meledak gol ke-20 musim ini, sekali gus membantu Bayern Munich menumpaskan Club Brugge 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara di Allianz Arena, awal pagi Khamis.


Ringkasan AI
  • Kapten England, Harry Kane, menjaringkan gol ke-20 musim ini dalam hanya 12 penampilan, membantu Bayern menang bergaya 4-0 di Allianz Arena.
  • Pemain muda berusia 17 tahun, Lennart Karl, membuka jaringan dan menjadi penjaring termuda Bayern dalam sejarah Liga Juara-Juara, memecahkan rekod Jamal Musiala.
  • Konrad Laimer mencipta dua bantuan gol dan mempamerkan disiplin bertahan cemerlang, manakala Brugge gagal menyaingi intensiti serangan tuan rumah.


Bayern bermula garang apabila pemain muda Lennart Karl membuka tirai jaringan seawal minit kelima.

Pemain berusia 17 tahun itu menerima hantaran di tengah padang sebelum melakukan larian solo menembusi dua pertahanan lawan dan melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol sekali gus menjadi penjaring termuda Bayern dalam sejarah Liga Juara-Juara pada usia 17 tahun 242 hari, memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang Jamal Musiala.

Sembilan minit kemudian, Bayern menggandakan kedudukan menerusi sentuhan mudah Kane hasil umpanan Konrad Laimer.

Jaringan itu menandakan gol ke-20 kapten England tersebut dalam hanya 12 penampilan bersama Bayern musim ini. Sebagai perbandingan, Lionel Messi pernah mencapai angka sama dalam 17 perlawanan, manakala Cristiano Ronaldo melakukannya dalam 13.

Luis Díaz menambah gol ketiga pada minit ke-31 selepas melakukan gerakan satu-dua pantas bersama Laimer di bahagian kiri sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan penjaga gol Brugge.

Separuh masa kedua menyaksikan Bayern memperlahankan tempo permainan, namun tetap kekal mendominasi.

Pengurus Vincent Kompany menggantikan Kane dengan Nicolas Jackson pada minit ke-69 bagi memberi rehat kepada penyerang utama itu dan pertukaran tersebut membuahkan hasil apabila Jackson menambah gol keempat enam minit kemudian untuk mengesahkan kemenangan bergaya 4-0 buat gergasi Bavaria.

Lennart Karl dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan selepas persembahan matang yang diserikan dengan jaringan sulungnya di pentas Eropah.

Sementara itu, Konrad Laimer turut mendapat pujian sebagai watak penting di bahagian kanan dengan dua bantuan gol serta disiplin bertahan yang cemerlang.

Bagi Club Brugge, ia merupakan malam penuh derita apabila barisan pertahanan mereka gagal menyaingi kelincahan serangan Bayern yang bermaharajalela sepanjang separuh masa pertama.

Dengan kemenangan ini, Bayern kekal di landasan tepat untuk mara ke pusingan seterusnya dan mesin gol bernama Harry Kane nampaknya belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti.







#Bayern Munich #Champions League #Harry Kane #Club Brugge