Kata azimat ayah kuatkan semangat Nor Sarah rangkul emas di Sukan SEA

Mohd Zalani Md Atan
Mei 17, 2022 10:43 MYT
Ibu Nor Sarah, Nasnita dan ayahnya Adi melihat fotonya semasa kecil. Gambar kecil adalah Nor Sarah. - Foto Astro AWANI
BANDAR PUSAT JENGKA: Kata azimat ayah menguatkan semangat Nor Sarah Adi sehingga dia berjaya merangkul pingat emas dalam acara lompat bergalah di Sukan SEA semalam serta turut mengukir kejayaan berganda dengan memungut pingat gangsa dalam acara lari berganti-ganti 4x100 meter di Stadium Nasional My Dinh, Vietnam.
Ayahnya, Adi Daud, 56, berkata, sebelum acara itu berlangsung, nalurinya terdetik merasakan anaknya akan berjaya rangkul emas dan terus memberi kata semangat melalui panggilan telefon kepada anaknya agar tidak menghampakan rakyat Malaysia dan keluarga.
“Dia (Sarah) memang tidak mengenal erti kalah dan sentiasa berusaha keras untuk berjaya dan sentiasa berdisiplin melakukan latihan.
“Sebenarnya acara yang kerap diceburinya adalah larian 100 meter dan 4x100 meter, acara lompat bergalah hanya sekali-sekala disertainya sekiranya ada kejohanan olahraga mengadakan acara itu,” katanya di kediamannya di Felda Jengka 3, di sini hari ini.
Katanya, Nor Sarah seorang yang meminati sukan dan semasa di Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 3 dia kerap menceburkan diri dalam acara larian termasuk acara merentas desa.
“Di bangku Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 2, dia tidak terkecuali menyertai acara sukan yang digemarinya.
“Kejayaan dan bakatnya itu dia dipilih melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Gambang Kuantan bermula Tingkatan 3 hingga menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
BACA: Nor Sarah cipta kejutan lompat bergalah, kuartet 4x100m lelaki pecah rekod
Ibunya, Nasnita Mohd Zain, 48, turut terharu dengan kejayaan anaknya yang merangkul pingat emas dalam acara lompat bergalah.
“Kami sekeluarga tidak senang duduk menonton secara langsung acara ini melalui televisyen, semalam dan dia sempat melakukan panggilan video selepas mencatatkan nama sebagai penerima pingat emas.
“Katanya, dia bersyukur dengan doa ayah dan ibu serta semua rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan dia dan atlet tanah air dan berharap terus mendoakan kejayaan mereka,” katanya lagi.
Pada Isnin Nor Sarah mencipta kejutan dengan merangkul pingat emas dalam acara lompat bergalah sekali gus menamatkan kemarau emas 11 tahun bagi Malaysia.
Atlet berusia 22 tahun itu, yang sepatutnya hanya menyertai acara 4x100m wanita pada penampilan sulungnya di temasya dwitahunan itu, muncul juara selepas mencatatkan lompatan terbaik peribadinya dengan ketinggian 4.00 meter (m).
Sukan SEA Hanoi | Nor Sarah cipta kejutan lompat bergalah
#Nor Sarah Adi #Sukan SEA #Hanoi #rangkul emas #kata semangat ayah #lompat bergalah #Jengka