KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan kebajikan atlet yang menggalas cabaran negara di Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh dari 5 hingga 17 Mei ini akan diutamakan dan dijaga sebaik mungkin.

Menteri berkenaan, Hannah Yeoh, berkata pihak sekretariat kontinjen Malaysia dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah diarahkan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani isu-isu yang timbul di Kemboja sekali gus memastikan prestasi atlet tidak terjejas.

"Antara yang dibangkitkan ialah isu penempatan atlet ekoran Perkampungan Sukan yang belum siap sepenuhnya.

"Ia mengakibatkan ada sebahagian atlet negara terpaksa dipindahkan ke hotel-hotel di Phnom Penh yang mungkin menimbulkan isu-isu lain seperti pembekalan makanan halal untuk atlet beragama Islam," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Negara ke Sukan SEA Kemboja di MSN, di sini, pada Ahad.

Menurutnya berdasarkan maklumat awal pegawai sekretariat kontinjen Malaysia yang berada di Kemboja, mereka turut berkongsi kebimbangan lain melibatkan keadaan lalu lintas yang sesak daripada tempat penginapan atlet menuju ke venue pertandingan.

"Keadaan cuaca ketika ini di Kemboja juga agak panas selain keadaan berhabuk," katanya.

Justeru, Hannah berkata pihak Institut Sukan Negara (ISN) telah memberikan peringatan kepada atlet negara selain panduan dan nasihat untuk diikuti sepanjang berada di Kemboja.

Kontinjen Malaysia kali ini disertai 928 orang, terdiri daripada 677 atlet dan 251 pegawai. Daripada jumlah 677 atlet, 402 adalah lelaki manakala 275 orang adalah wanita.

Malaysia menyasarkan 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa pada temasya dwitahunan kali ini.

-- BERNAMA