KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan supaya stadium utama di semua negeri dinaik taraf, dengan memanfaatkan peruntukan bantuan geran RM500,000 daripada Kerajaan Persekutuan.

KBS menerusi kenyataan hari ini memaklumkan cadangan itu dibuat menerusi Mesyuarat Penyelarasan Menteri/ Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Bil.1/ 2024 yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di Menara KBS semalam.

Menurut kenyataan itu, projek menaik taraf stadium itu adalah sebagai persediaan kejohanan Liga Malaysia (Liga-M) selain memastikan padang bola sepak berada dalam keadaan baik dan mengelak berlakunya air bertakung atau banjir semasa Liga-M berlangsung.

"Kerajaan negeri yang telah bersetuju, perlu memberi komitmen bagi beberapa perkara iaitu menentukan lokasi stadium yang dipersetujui oleh Kerajaan Negeri setelah mendapat pandangan Malaysian Football League (MFL).

"Peruntukan RM300,000 untuk naik taraf sistem saliran padang serta menggunakan khidmat kontraktor yang berwibawa dan sesuai dengan standard yang digariskan oleh MFL," menurut kenyataan yang dikeluarkan KBS hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan peruntukan RM200,000 pula perlu digunakan untuk menaik taraf padang dengan menukar rumput kepada jenis rumput bilah halus (fine-blade grass).

Sementara itu mesyuarat turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri berbincang dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing bagi melihat semula kadar bayaran lesen dikenakan premis-premis berkaitan sukan terutamanya gimnasium dan pusat snuker.

Menurutnya ia sebagai membantu para penggiat industri sukan terutama dalam mengurangkan kos operasi yang ditanggung mereka.

KBS turut menyentuh mengenai pindaan kandungan Kod Sukan Selamat dengan memasukkan elemen baharu iaitu larangan merokok termasuk rokok elektronik (vape) semasa penganjuran atau menjalankan aktiviti sukan.

"Individu atau organisasi yang terlibat dalam perniagaan berkaitan produk rokok elektronik (vape) tidak dibenarkan untuk menganjur, menaja, mempromosi, mengiklan, menjual, memberi sebagai hadiah atau meletakkan cap dagangan dalam apa-apa penganjuran atau menjalankan aktiviti sukan dan belia," menurut KBS.

-- BERNAMA