KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) digesa mengiktiraf muay thai sebagai sukan utama seperti mana sukan-sukan teras yang lain kerana ia mampu memberi pulangan besar kepada negara.

Ketua Jurulatih Skuad Muay Thai Kebangsaan, Bernard Radin berkata, sokongan dan bantuan diterima atlet Muay Thai tidak sehebat pencapaian yang membanggakan di peringkat antarabangsa seperti diraih atletnya.

Menurutnya, kejayaan Mohammad Rifdean Masdor melengkapkan hatrik gelaran dunia bagi Kejohanan Muay Thai Dunia kali ketiga pada 11 Mei lalu membuktikan potensi sukan tersebut dalam prospek pingat menjelang Sukan SEA di Thailand pada 2025.

"Saya harap sukan Muay Thai ini diiktiraf sama dengan mana-mana sukan lain dan diberi bantuan sewajarnya kerana kami tidak pernah gagal untuk melahirkan atlet bukan sahaja di peringkat Asia tetapi bertaraf dunia.

"Kami harap kami dipandang, dan teruskan pembangunan sukan Muay Thai ini, dan tidak direhatkan sementara.

"Ketiadaan program Podium untuk Muay Thai menyusahkan atlet kerana mereka berkorban masa depan untuk sukan ini.

"Setahun dua ini kami amat struggle tetapi kita tetap diteruskan ini demi cinta terhadap sukan ini dan negara. Sekarang ini bajet untuk latihan dan makan ditanggung sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Program Penyatuan Ukhuwah Fisabilillah di Meow Garden di Ipoh malam tadi.

Bernard berkata, dengan prestasi kurang memberangsangkan kontinjen negara dalam Sukan SEA Kemboja ketika ini, KBS wajar memberikan peluang kepada sukan Muay Thai yang mampu menyumbang pingat emas menjelang penganjuran kejohanan berkenaan pada tahun 2025 di Thailand.

Jelasnya, Muay Thai hampir pasti akan dimasukkan sebagai salah satu acara pada kejohanan di Thailand nanti dan Malaysia perlu mengambil peluang itu dengan memberikan bantuan sewajarnya untuk latihan atlet sukan ini.

"Lebih 15 tahun Persatuan Muay Thai tidak pernah gagal mencapai sasaran ditetapkan MSN (Majlis Sukan Negara) dan begitu juga di Perak, kita tak pernah gagal capai sasaran.

"Memandangkan tahun 2025 Thailand akan menjadi tuan rumah. Ini merupakan satu lombong atau kilang untuk kita mendapat pingat emas seterusnya membantu kontinjen Malaysia," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ketika ini persiapan sedang dibuat untuk penyertaan atlet ke Sirkit Kejohanan Pro Muay Thai Dunia bermula bulan depan di Bangkok, Thailand diikuti di Poland pada bulan Jun dan Turkiye pada bulan Ogos. - Sinar Harian