[TERKINI] Titah Adendum: Rayuan Peguam Negara Ditolak – Semakan Kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi KL
SUKAN

KBS perjuang dana untuk bakat muda permotoran

Bernama 13/08/2025 | 04:10 MYT
Hannah Yeoh (dua kiri) hadir pada majlis sidang media MotoGP Petronas Grand Prix Of Malaysia 2025 di TRX City Park, malam tadi. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memohon dana tambahan daripada Kementerian Kewangan bagi membantu sukan permotoran dalam misi menyokong pelumba tempatan seperti Hakim Danish Ramli.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau pada masa yang sama turut mengharapkan sokongan khususnya kewangan daripada syarikat korporat untuk sukan permotoran negara bagi memastikan karier pelumba berbakat negara terus bersinar baik di pentas domestik mahupun antarabangsa.

"Seperti yang anda semua tahu, sukan permotoran ini bukan satu sukan yang murah dan pelaburan ini perlu mengambil masa. Jadi, doakan kita berjayalah dalam permohonan untuk mendapatkan lebih banyak dana untuk Hakim Danish," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sebelum ini media melaporkan, pelumba berusia 17 tahun itu memerlukan kos yang tinggi bagi mengharungi perlumbaan yang disertainya musim ini termasuk peluang menampilkan beliau sebagai pelumba wild card dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Malaysia di Sepang.

Sementara itu, ditanya mengenai kontrak penganjuran MotoGP Malaysia yang dijangka berakhir tahun depan, Hannah berkata, pihaknya sentiasa menyokong penganjuran perlumbaan itu dan sedia untuk memastikan ia kekal di Sepang.

"Setiap kali kalau ada lanjutan, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan mohon kepada kerajaan dan kita akan sediakan kertas Kabinet serta banyak faktor yang perlu dipertimbangkan. Namun saya memang tahu kerajaan sangat menyokong MotoGP khasnya kerana ia membawa banyak pengunjung ke SIC," katanya.

-- BERNAMA



#Kementerian Belia dan Sukan #sukan permotoran #Hakim Danish Ramli #pelumba tempatan