KBS perlu lebih proaktif perkasa penglibatan anak muda dalam industri sukan

Rahimah Abdullah
September 14, 2022 09:17 MYT
Mohd Sadek berkata struktur organisasi kerajaan juga perlu diletakkan dengan lebih ramai tenaga anak muda bagi memahami kehendak remaja dalam industri berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu memainkan peranan yang lebih proaktif bagi memperkasa penglibatan remaja dalam industri sukan.
Ujar Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Sadek Mustafa, struktur organisasi kerajaan juga perlu diletakkan dengan lebih ramai tenaga anak muda bagi memahami kehendak remaja dalam industri berkenaan.
Selain itu Mohd Sadek berkata, KBS juga perlu terus bekerjasama dengan Kementerian Luar Bandar bagi mewujudkan ekosistem yang mendekatkan anak muda dengan industri sukan termasuk penubuhan one stop centre atau pusat khidmat setempat, sama seperti kemudahan di kawasan bandar.
"Kalau kita lihat kita ada skim-skim Felda di seluruh negara yang mereka ada populasi besar. Namun kita tidak melihat jenis perniagaan yang khusus dalam aspek memberi khidmat industri sukan itu di Felda misalnya one stop centre sukan seperti yang ada menyediakan gelanggang sintetik, kemudahan indoor, tempat membeli perkhidmatan sukan ,ini semua tidak diwujudkan.
"Saya pernah bincangkan perkara ini, macam mana kita nak libatkan para remaja di Felda. Di bandar, ada (kemudahan itu) tetapi di luar bandar tidak ada. Jadi tidak ada keseimbangan di situ," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
BACA: Perkasa belia, hidupkan industri sukan jadi fokus KBS pada Belanjawan 2023
Dalam masa sama beliau mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sekolah-sekolah sukan bersifat industri dengan memastikan bantuan serta khidmat nasihat yang menyeluruh dapat dilaksanakan sehingga berjaya melahirkan seorang usahawan.
"Dalam konteks ini, kita mesti membentuk mereka supaya mempunyai mindset seorang usahawan, bukan sahaja seorang yang meminta sahaja, namun sanggup bekerja dan melihat ke hadapan sebagai seorang usahawan.
"Jadi KBS perlu memainkan peranan yang lebih selain Institut Belia itu sendiri dan keluar dari kepompong tersebut," ujarnya.
#sukan #KBS #Mohd Sadek Mustafa #Belia