SUKAN

KBS peruntuk RM100 juta untuk tiga dana sukan tahun depan

Bernama 12/12/2025 | 09:45 MYT
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada Sidang Media Geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2026 di Menara KBS, hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM100 juta bagi tiga dana sukan utama tahun depan merangkumi Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWSN), Geran Padanan Sukan (GPS) dan Dana Sukan Komuniti (DSK).


Ringkasan AI
  • Kementerian Belia dan Sukan (KBS) peruntukkan RM100 juta bagi tiga dana sukan utama tahun depan termasuk Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWSN), Geran Padanan Sukan (GPS) dan Dana Sukan Komuniti (DSK).
  • RM50 juta akan diberikan kepada KWSN, RM30 juta untuk GPS dan RM20 juta untuk DSK; permohonan boleh dibuat secara atas talian menerusi laman web KBS mulai 15 Disember.
  • GPS memberikan geran balik bagi penganjuran kejohanan berprestasi serta kelulusan maksimum hingga RM1 juta, manakala DSK terbuka kepada pertubuhan sukan berdaftar bagi program sukan dan rekreasi di peringkat daerah serta negeri.


Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM50 juta akan disalurkan kepada KWSN, RM30 juta bagi GPS dan RM20 juta untuk DSK.

Beliau berkata terma dan syarat terperinci termasuk jadual permohonan akan dimuat naik menerusi laman web KBS mulai 15 Dis, untuk memudahkan persatuan dan penganjur merancang serta mengemukakan permohonan lengkap mengikut jadual yang ditetapkan.

"Mana-mana pihak yang ingin membuat permohonan boleh berurusan secara langsung dengan KBS atau agensi di bawah kementerian yang menyediakan peruntukan ini kerana kami tidak mengenakan caj atau komisen dan tiada runner," katanya pada sidang media Dana Sukan KBS di Menara KBS hari ini.

Mengulas tentang GPS, Hannah berkata geran yang diberi berbentuk tuntutan bayaran balik bagi penganjuran kejohanan berprestasi dan berimpak tinggi pada peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, serta kelulusan maksimum hingga RM1 juta akan disalurkan bagi acara yang memberikan impak besar kepada Malaysia.

Bagi DSK pula, beliau berkata bantuan sekali beri itu mengutamakan persatuan sukan berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan kelab belia berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).

"Mulai tahun depan, DSK turut dibuka kepada pertubuhan (sukan yang) berdaftar di bawah ROS. DSK menyasarkan program sukan dan rekreasi pada peringkat daerah serta negeri.

"Permohonan di bawah RM10,000 akan dibayar terus, manakala jumlah melebihi RM10,000 disalurkan secara berperingkat bagi memastikan program benar-benar dilaksanakan," katanya.

Hannah berkata dana KWSN terbuka kepada atlet persendirian bagi sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik atau temasya sukan rasmi.

"Untuk penyertaan luar negara, hanya kejohanan berstatus ranking dunia dipertimbangkan. Permohonan untuk perlawanan persahabatan atau kejohanan yang tidak diiktiraf tidak akan diluluskan," katanya.

-- BERNAMA








#Kementerian Belia dan Sukan #KBS #peruntukan #Hannah Yeoh #Olimpik