SUKAN

KBS tegaskan pembangunan sukan, fasiliti dipikul bersama

Bernama 14/01/2026 | 12:54 MYT
PKBM menggesa supaya kementerian campur tangan menyelamatkan Velodrom Rakyat di Ipoh yang didakwa berada pada tahap kritikal. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan bahawa sukan tersenarai dalam senarai bersama Perlembagaan Persekutuan, justeru tanggungjawab pembangunan sukan serta fasiliti perlu dipikul secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Kenyataan KBS hari ini dikeluarkan sebagai respons kepada gesaan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) supaya kementerian campur tangan menyelamatkan Velodrom Rakyat di Ipoh yang didakwa berada pada tahap kritikal.

Menurut KBS, Velodrom Rakyat dibina pada 1989 di atas tanah milik kerajaan negeri dan merupakan hak Kerajaan Negeri Perak di bawah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Semasa penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak pada 2018, Kerajaan Persekutuan melalui KBS telah memperuntukkan dana sebanyak RM12.7 juta untuk menaik taraf fasiliti ini selari dengan tanggungjawab bersama memajukan sukan negara," menurut kenyataan itu.

KBS berharap Kerajaan Negeri dan PKBM turut memainkan peranan dalam penyenggaraan fasiliti berkenaan supaya dapat dimanfaatkan oleh atlet dan rakyat, khususnya di Perak.

Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill sebelum ini menggesa campur tangan segera KBS bagi menyelamatkan Velodrom Rakyat di Ipoh yang kini dikatakan berisiko membahayakan pengguna.

Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap kerenah birokrasi dan budaya saling menuding jari yang menyebabkan fasiliti ikonik itu terbiar tanpa sebarang aktiviti perlumbaan atau latihan sejak lebih setahun lalu.

Amarjit berkata ketiadaan bumbung dikenal pasti sebagai punca utama kerosakan berulang pada permukaan trek kayu yang terdedah kepada hujan dan panas, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan kepada pelumba.

-- BERNAMA


#KBS #pembangunan sukan #fasiliti #PKBM #velodorom rakyat