KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) telah memulakan perbincangan bagi mengembangkan lagi E-Sukan di peringkat akar umbi khususnya sekolah.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata ia berdasarkan kesedaran bahawa pasukan negara mempunyai potensi besar dalam bidang itu yang telah menyaksikan pelbagai pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa antaranya pada temasya Sukan SEA dan Sukan Asia.

"Oleh itu, pembangunan dari peringkat akar umbi itu penting dan selalunya kita mengharapkan kerjasama yang baik dari peringkat sekolah terutama Majlis Sukan Sekolah Daerah serta Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia tapi sudah tentu perjalanan masih jauh

"Kita mahu memastikan sukan ini diterima sebagai satu daripada sukan di peringkat sekolah," katanya pada Majlis Pelepasan Pasukan E-Sukan Profesional Malaysia ke Kejuaraan Dunia M5 Mobile Legend: Bang Bang di bangunan Parlimen hari ini.

Wakil Malaysia iaitu Homebois dan SMG bakal berentap di Manila, Filipina menentang 14 pasukan lain dari pelbagai negara bagi merebut hadiah terkumpul kira-kira USD900,000 (RM4,209,750.00).

Adam juga berharap kedua-dua pasukan dapat mengharumkan nama Malaysia dalam kejuaraan itu.

"Kita harap mereka menang sebab mereka adalah pasukan hebat yang ada pengalaman, ada jurulatih yang bagus, akademi yang sangat baik dan ekosistem yang membina, jadi kita letakkan harapan yang tinggi," katanya.

-- BERNAMA