Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
SUKAN

KBS teliti keperluan sekolah sukan di seluruh negara - Adam Adli

Bernama 09/08/2025 | 04:43 MYT
Adam Adli (kiri) beramah mesra bersama para peserta pada Majlis Pelepasan Cycling Tour ASEAN Solidarity di Dataran Pantai Batu Buruk hari ini. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengenal pasti sekolah sukan di seluruh negara yang bakal terlebih dahulu menerima bantuan bagi memperkasa pembangunan di peringkat akar umbi.


Ringkasan AI
  • KBS akan kenal pasti sekolah sukan utama di seluruh negara untuk menerima bantuan awal bagi memperkasa pembangunan sukan akar umbi.
  • Kerjasama erat antara KBS dan KPM sedang diperkukuh melalui perbincangan berkaitan fasiliti, kepakaran dan kejurulatihan di sekolah sukan.
  • JKPS dijadikan platform penyelarasan antara KBS dan KPM, selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kemudahan dan kecemerlangan atlet muda.


Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa dilakukan bagi menambah baik kemudahan di sekolah-sekolah sukan termasuk berkaitan kepakaran, kejurulatihan dan fasiliti.

"Contohnya antara sekolah sukan utama di Malaysia, Sekolah Sukan Bukit Jalil yang berkongsi fasiliti dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga aset-aset di bawah Perbadanan Stadium Malaysia.

"Jadi, kita hendak mewujudkan kerjasama lebih erat terutama di sekolah sukan lain selepas ini. Kita bersedia untuk melihat keperluan yang boleh diisi di peringkat KBS," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Jelajah Kayuhan Solidariti ASEAN 2025 di Dataran Batu Buruk di sini hari ini.

Adam Adli berkata meskipun sekolah sukan berada di bawah bidang kuasa KPM, KBS sentiasa memberikan perhatian kepada pembangunan atlet di institusi berkenaan.

Beliau berkata KBS juga mempunyai Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) yang antara lain menyemak tanggungjawab dan bidang kuasa antara KBS dan KPM berkaitan sekolah sukan.

"Jadi, JKPS juga boleh dijadikan sebagai platform untuk kita berbincang dan menyelaras perkara berkaitan. Setakat ini, memang kita sentiasa bekerjasama erat (bersama KPM)," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis berkata kerajaan akan memberi perhatian dari segi keperluan kemudahan di sekolah sukan agar mutu kecemerlangan bakal atlet dapat ditingkatkan.

Anwar berkata perbincangan telah diadakan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bagi memastikan segala bentuk bantuan yang diperlukan dapat disegerakan.

-- BERNAMA






#Kementerian Belia dan Sukan #Adam Adli Abdul Halim #sekolah sukan #Majlis Sukan Negara