SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
SUKAN

KBS tidak halang pengambilan atlet naturalisasi, pembangunan bakat tempatan tetap keutamaan - Adam Adli

Bernama 21/08/2025 | 08:48 MYT
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menghalang penggunaan pemain naturalisasi atau warisan untuk memperkuat pasukan kebangsaan, namun pembangunan bakat tempatan tetap menjadi keutamaan utama negara, kata Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim.


Ringkasan AI
  • KBS tidak menghalang pengambilan pemain naturalisasi atau warisan untuk memperkuat pasukan kebangsaan, namun ia tertakluk kepada syarat ketat seperti kelulusan kewarganegaraan sah daripada KDN.
  • Contoh kejayaan pendekatan ini ialah kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Vietnam dalam kelayakan Piala Asia AFC, di mana tiga pemain naturalisasi telah disenaraikan.
  • Adam Adli menegaskan bahawa pembangunan bakat tempatan tetap menjadi keutamaan.


Beliau berkata pengambilan atlet sedemikian adalah tertakluk kepada syarat ketat, termasuk mendapat kelulusan kewarganegaraan yang sah daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh badan sukan antarabangsa dan persatuan sukan kebangsaan masing-masing.

Menurutnya, pendekatan atlet naturalisasi atau pemain warisan terbukti memberi impak positif dan berperanan sebagai salah satu pemboleh ubah prestasi sukan kebangsaan.

"Sebagai contoh, pada 10 Jun, pasukan bola sepak kebangsaan mencatat kemenangan 4-0 ke atas Vietnam, yang ketika itu berada di ranking ke-109 dunia, dalam perlawanan kelayakan Piala Asia AFC. Dalam perlawanan tersebut, tiga orang pemain naturalisasi telah disenaraikan bersama skuad kebangsaan.

"Kali terakhir pasukan kebangsaan menewaskan Vietnam adalah pada 2014. Kehadiran pemain naturalisasi dan pemain warisan dilihat membantu meningkatkan mutu dan kualiti permainan sukan bola sepak tempatan sekaligus membantu mempertingkatkan prestasi pasukan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang bertanya tentang dasar KBS berkaitan penggunaan pemain naturalisasi dalam pasukan kebangsaan.

Meskipun begitu, Adam Adli menegaskan pengambilan pemain naturalisasi tidak boleh menjejaskan pembangunan bakat tempatan.

"Setiap PSK (Persatuan Sukan Kebangsaan) perlu mengambil kira syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkaitan agar keseimbangan dapat dicapai antara pembangunan bakat tempatan dengan peningkatan prestasi sukan negara melalui pemain naturalisasi," katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada Saifuddin mengenai status permohonan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) untuk mengambil dua pemain naturalisasi dan seorang pemain warisan bagi persiapan Sukan SEA Thailand hujung tahun ini, beliau berkata KBS tiada halangan bagi permohonan persatuan itu, namun keputusan akhir terletak di bawah bidang kuasa KDN selaras dengan prosedur sedia ada.

-- BERNAMA




#Kementerian Belia dan Sukan #Adam Adli Abd Halim #Dewan Rakyat #pemain naturalisasi