ALOR SETAR: Barisan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) perlu membuktikan yang pasukan itu layak untuk beraksi dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang akan bermula di Bali, Indonesia pada 24 Jun depan.

Ketua Pasukan KDA FC Syazwan Zainon berkata peluang untuk beraksi dalam AFC bukan sesuatu yang mudah, bahkan ada pemain yang tidak dapat merasa untuk bermain di AFC sehingga bersara.

"Peluang bukan datang selalu dan kalau kita tengok dalam Liga Malaysia pun Kedah tidak ada tempat untuk ke AFC. Jadi, bila ada peluang ini kena ambil dan gunakan sebaik mungkin untuk buktikan kepada semua pihak.

"Buktikan, supaya mereka boleh tengok dan nilai prestasi kita yang walaupun dalam Liga Malaysia, pasukan tidak okay tetapi di pentas AFC pasukan kita mampu menghasilkan sesuatu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini.

Dalam saingan peringkat kumpulan, KDA FC diundi dalam Kumpulan G bagi saingan Piala AFC 2022 yang dijadualkan bermula 24 hingga 30 Jun depan bersama tiga pasukan lain iaitu, Kaya FC (Filipina), Bali United FC (Indonesia) dan Visakha FC (Kemboja).

Sementara itu, Syazwan berkata Ketua Jurulatih Aidil Sharin Sahak juga telah membuat persediaan yang begitu rapi kepada semua pemain sebelum berangkat ke Indonesia.

"Selepas berehat daripada Liga Malaysia, persediaan memang dibuat hari demi hari. Jadi, pihak pengurusan, kejurulatihan, peminat serta pemain itu sendiri memang meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk layak ke peringkat seterusnya.

"Perlawanan pertama menentang Bali United FC pada 24 Jun depan akan menentukan hala tuju pasukan dan saya yakin barisan pemain senior, muda, lama dan baharu ini akan dapat beraksi dengan baik walaupun kuota pemain import masih belum lengkap," katanya.

Dalam pada itu, penyerang KDA FC Ronald Ngah Wanja berkata beliau yakin pasukan telah membina banyak perkara positif sepanjang tempoh empat minggu lalu walaupun mencatatkan keputusan tidak membanggakan dalam liga.

"Objektif kami pergi ke Bali dan berada di kedudukan teratas. Untuk menjadi pemenang, kami harus memenangi setiap perlawanan di sana. Saya mahu menjaringkan gol, tetapi jika saya dapat membantu pasukan menjaringkan gol, saya akan lakukan kerana yang penting adalah untuk menang dan kami mengimpikan untuk meletakkan Kedah di ranking lebih tinggi dalam AFC.

"Bagi pasukan lawan kami, saya melihat beberapa video permainan mereka dan jika mereka mempunyai mata yang kukuh, begitu juga kami. Apa yang penting sekarang adalah untuk memberikan yang terbaik sebagai satu pasukan," katanya.

-- BERNAMA