[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
SPORTS

KDN FC lakukan rombakan, bentuk skuad berdaya saing hadapi Liga Super musim depan

Bernama 12/05/2025 | 07:00 MYT
KDN FC akan berbelanja secara berhemah dan memastikan semua syarat pelesenan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dipenuhi. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) akan melakukan rombakan besar untuk membentuk skuad yang mampu berdaya saing dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) khususnya Liga Super bagi musim 2025/2026.

Ringkasan AI
  • Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) merancang perubahan besar dalam skuad dan barisan jurulatih bagi memastikan pasukan mampu bersaing dalam Liga Super Malaysia.
  • Pengurusan kelab memberi keutamaan kepada menyelesaikan tunggakan gaji pemain musim lalu sebelum memulakan musim baharu tanpa masalah kewangan.
  • Walaupun merancang perubahan besar, KDN FC akan berbelanja secara berhemah dan memastikan semua syarat pelesenan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dipenuhi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Irwan Rizal Ali Napiah berkata tumpuan beliau bersama barisan kepimpinan ketika ini adalah untuk memastikan tunggakan gaji pemain musim lepas dapat diselesaikan segera.
"Kita akan membawa masuk pemain dan barisan jurulatih yang mempunyai kualiti bagi memastikan KDN FC mampu bersaing dengan pasukan lain pada saingan Liga Musim depan.
"Apa yang penting ketika ini adalah kita tidak mahu lagi berdepan dengan masalah yang sama (hutang) musim ini, kita mahu memulakan saingan liga musim baharu tanpa sebarang hutang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohd Irwan Rizal berkata walaupun akan melakukan rombakan terhadap pemain dan jurulatih pada musim ini, kelabnya akan berbelanja secara berhemah mengikut kemampuan.
"Kita tidak mahu terpalit dengan masalah hutang untuk menyediakan pasukan yang kuat pada musim depan. Kita akan melihat kemampuan dan kepentingan pasukan sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.
Sebelum ini, Presiden KDN FC Rozi Muhamad mengakui masih terdapat baki tunggakan yang belum dijelaskan kepada pemain bagi musim 2024/2025, namun menegaskan usaha sedang giat dilakukan untuk melunaskannya dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Mohd Irwan Rizal berkata pengurusan kelab ketika ini juga sedang berusaha bagi memastikan segala kriteria yang diperlukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dapat dipenuhi untuk pelesenan kelab musim ini.
"Beberapa lagi dokumen akan diselesaikan dan komitmen kita untuk memastikan setiap syarat yang diperlukan dapat dipenuhi sebelum mengetahui keputusan dari MFL.
"Saya yakin KDN FC akan terus bersaing pada saingan Liga-M musim ini," katanya.
-- BERNAMA
#Kelantan Darul Naim FC #Liga Super #rombakan besar #Liga Malaysia