SPORTS

KDN FC perlu utamakan penyelesaian tunggakan gaji - Bekas tonggak Kelantan

Bernama 18/05/2025 | 07:10 MYT
Bekas kapten Kelantan Mohd Badhri Radzi berkata masalah tunggakan gaji mampu melemahkan semangat pemain dan menjejaskan usaha memulihkan kegemilangan bola sepak negeri. - Gambar/ IG captain_piya16
KUALA LUMPUR: Pengurusan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dinasihat memberi keutamaan kepada penyelesaian tunggakan gaji pemain menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2025/2026.


Ringkasan AI
  • Bekas pemain Kelantan menasihatkan KDN FC agar menyelesaikan tunggakan gaji pemain sebelum musim Liga-M 2025/2026 bermula.
  • Mohd Badhri Radzi dan Mohd Farisham Ismail mencadangkan agar kelab menawarkan gaji yang lebih rendah tetapi dibayar secara konsisten, berbanding janji gaji tinggi yang tidak ditunaikan.
  • Presiden KDN FC, Rozi Muhamad, memberi jaminan bahawa tunggakan gaji selama empat bulan akan diselesaikan dalam masa terdekat.


Bekas kapten Kelantan Mohd Badhri Radzi berkata masalah tunggakan gaji mampu melemahkan semangat pemain dan menjejaskan usaha memulihkan kegemilangan bola sepak negeri.

Beliau mencadangkan agar kelab menawarkan kadar gaji yang lebih rendah tetapi konsisten dibayar, berbanding janji gaji tinggi yang akhirnya gagal ditunaikan.

"Saya tidak mahu isu yang sama berulang. Pemain mencari rezeki melalui bola sepak; jika gaji tidak dibayar, motivasi mereka akan pudar. Walaupun di bawah RM7,000 sebulan, asalkan konsisten, sudah memadai," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, bekas pemain TRW Mohd Farisham Ismail menegaskan pengurusan kukuh dan gaji realistik penting bagi kestabilan pasukan, sambil menyifatkan gaji rendah tetapi konsisten lebih baik daripada janji tinggi yang tidak dibayar.

Pada 7 Mei lepas, Bernama melaporkan KDN FC masih berdepan tunggakan empat bulan gaji pemain bagi musim 2024/2025, namun Presidennya, Rozi Muhamad memberi jaminan isu itu akan diselesaikan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA




#KDN FC #Kelantan #isu tunggakan gaji #Liga Malaysia