SUKAN

Kecemerlangan Tang Jie-Ee Wei rangkul gelaran dunia warnai kalendar sukan negara 2025

Bernama 23/12/2025 | 03:30 MYT
Tang Jie-Ee Wei melakar sejarah menjadi beregu campuran negara pertama mengecap kejayaan di pentas dunia. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kejayaan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjuarai Kejohanan Dunia 2025 di Paris, Ogos lepas menjadi pencapaian paling bermakna dalam arena sukan tanah air meskipun diwarnai pelbagai drama dan turun naik.


Ringkasan AI
  • Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjuarai Kejohanan Dunia 2025 di Paris, memecahkan sejarah sebagai beregu campuran pertama dari Malaysia meraih gelaran, setelah mengatasi pelbagai cabaran termasuk perpisahan sementara sebelum bersatu semula pada Jun.
  • Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah meraih tempat kedua dalam kejohanan yang sama, menjadi wakil pertama Malaysia mencapai pencapaian ini, menunjukkan prestasi konsisten dengan tiga gelaran lain sepanjang tahun.
  • Prestasi sukan negara turut bersinar dengan Muhammad Azeem Fahmi yang masih berusaha memecahkan rekod kebangsaan lari 100m, Umar Osman yang gagal mengekalkan prestasi terbaik, dan kejayaan sukan lain seperti sukan sepak takraw, boling padang, renang, dan berbasikal trek.


Kemenangan ke atas wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada aksi final menyaksikan Tang Jie-Ee Wei melakar sejarah menjadi beregu campuran negara pertama mengecap kejayaan di pentas dunia selain muncul wakil kedua merangkul kejuaraan itu selepas beregu lelaki utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada edisi 2022 di Tokyo.

Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas perpisahan sementara pada Mac kerana perselisihan faham, namun penyatuan semula pada Jun terbukti tepat bukan sahaja menjernihkan hubungan malah menjadi pemangkin utama kejayaan gandingan ini ke puncak dunia di Paris.

Selain Tang Jie-Ee Wei, sejarah turut tercipta di bumi Paris apabila beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah muncul naib juara selepas tewas kepada beregu utama China, Liu Sheng Shu-Tan Ning sekali gus menjadi wakil pertama negara meraih pencapaian tertinggi di Kejohanan Dunia.

Pearly-Thinaah juga menampilkan aksi konsisten sepanjang tahun ini dengan tiga gelaran iaitu Terbuka Thailand, Terbuka Artik dan Masters Jepun selain muncul naib juara Masters Indonesia, Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun.

Kehadiran jurulatih berprofil tinggi dari Indonesia Herry Iman Pierngadi selaku ketua jurulatih beregu lelaki negara sejak Februari lepas mencetuskan impak buat gandingan Malaysia termasuk membantu Aaron-Wooi Yik merangkul tiga gelaran dan membimbing Man Wei Chong-Tee Kai Wun meraih Masters Malaysia, yang juga kejayaan pertama pasangan negara selepas kali terakhir dicapai Goh V Shem-Lim Khim Wah pada 2013.

Walaupun begitu, prestasi wakil perseorangan negara masih suram akibat kecederaan dan prestasi tidak konsisten termasuk Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao yang gagal mengekalkan momentum sepanjang tahun.

Beralih ke sukan olahraga, prestasi jaguh pecut negara Muhammad Azeem Fahmi dilihat agak mendatar meskipun dibimbing jurulatih berkelas dunia dan berlatih bersama rakan sepelatih berkualiti tinggi sewaktu melanjutkan pengajian di Universiti Auburn, Amerika Syarikat.

Muhammad Azeem masih belum berjaya memecahkan rekod kebangsaan 100 meter (m) lelaki kebangsaan miliknya sendiri iaitu 10.09 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, pada 2022 dengan hanya berjaya merekodkan masa terbaik 10.20s tahun ini.

Biarpun Olahraga Malaysia (MA) memberikan tiket pilihan khas kepada jaguh 400m lelaki kebangsaan Umar Osman pada Kejohahan Dunia 2025 di Jepun, September lepas, pelari berusia 22 tahun itu gagal menampilkan prestasi diharapkan apabila menduduki tempat tercorot dalam saringan ketiga dengan catatan 46.43s, jauh daripada rekod kebangsaan miliknya 46.09s ketika Sukan Universiti Dunia 2023 di China.

Ketiadaan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri tidak menghalang skuad terjun negara daripada membawa pulang lima perak dan satu gangsa dari Kejohanan Akuatik Asia 2025 di Ahmedabad, India namun mereka gagal menjelmakan sebarang pingat pada Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura.

Bagi sukan renang, Khiew Hoe Yean menyinar apabila merangkul gangsa dalam acara 400m gaya bebas lelaki dengan catatan masa 3 minit 52.69s, selain membantu kuartet 4x200m gaya bebas meraih warna pingat sama selepas merekodkan 7:23.43s dari Ahmedabad.

Kayuhan bertenaga Muhammad Shah Firdaus Sahrom menobatkannya sebagai pelumba berbasikal trek negara paling menonjol tahun ini selepas meraih emas keirin pertamanya pada Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Konya, Turkiye, Mac lepas.

Sukan sepak takraw turut menceriakan arena sukan negara dengan menjuarai acara kuadran menewaskan Jepun 15-8, 15-11 dan acara regu, menumbangkan musuh tradisi Thailand, 15-12, 15-9, pada edisi sulung kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa Mei lepas.

Skuad boling padang pula memanfaatkan status tuan rumah apabila muncul juara keseluruhan Piala Dunia 2025 dengan meraih satu pingat emas dan tiga gangsa, menewaskan kuasa besar seperti Australia, England, New Zealand, Scotland dan Wales.

Emma Firyana Saroji muncul wira dengan merangkul gelaran juara acara singles wanita, menafikan tentangan sengit wakil England, Kathrine Rednall.

Dalam perkembangan sukan para, kemelut membabitkan jaguh badminton Cheah Liek Hou dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berhubung insentif kemenangan Sukan Paralimpik Paris 2024 berupa wang tunai RM60,000 menjadi perhatian, susulan tindakannya menyatakan kekecewaan menerusi media sosial.

Isu itu membawa kepada pertikaian terbuka hingga MPM mempertimbangkan tindakan undang-undang dan penggantungan terhadap atlet berkenaan, namun Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh tampil mengesahkan tiada penggantungan dikenakan kerana tuntutan Liek Hou bukan pelanggaran disiplin, sebaliknya berkaitan janji penajaan yang masih belum diselesaikan.

Kontroversi tidak menjejaskan prestasi pemenang dua pingat emas perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) yang berjaya mengekalkan statusnya selaku pemain nombor satu dunia dan mendakap lima gelaran tahun ini.

Selain prestasi atlet, arena sukan tanah air turut menyaksikan perubahan pucuk pimpinan tertinggi persatuan sukan antaranya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang dilantik sebagai presiden ke-13 Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Mei lepas, menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Biarpun tidak lagi memegang kerusi nombor satu BAM, Mohamad Norza terus diberi kepercayaan memimpin Majlis Olimpik Malaysia buat penggal ketiga berturut-turut sejak 2018 dengan menang tanpa bertanding bagi penggal 2025-2029, manakala Datuk Karim Ibrahim kembali diangkat sebagai Presiden MA bagi penggal 2025-2028 selepas memegang jawatan tersebut dari 2014-2019.

Selepas prestasi mengecewakan pada Sukan SEA 2023 di Kemboja dengan kutipan 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa, kontinjen Malaysia bangkit pada edisi kali ini di Thailand, mengumpul 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa, bagi menamatkan kempen dengan keseluruhan 231 pingat.

Angka tersebut bukan sahaja melepasi sasaran 200 pingat ditetapkan sebelum ini, malah mencipta sejarah baharu sebagai kutipan pingat keseluruhan tertinggi pada Sukan SEA dianjurkan di luar Kuala Lumpur, mengatasi rekod 216 pingat pada edisi 2007 di Korat, Thailand.

Pencapaian 57 pingat emas di bumi Thailand merupakan yang terbaik bagi Malaysia dalam tempoh enam tahun, selepas mengutip 55 pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina, memberi lonjakan positif Malaysia dalam usaha muncul juara keseluruhan pada edisi 2027 di tanah air.

-- BERNAMA






#kejohanan dunia #Tang Jie-Ee Wei #lakar sejarah #Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin