Kecergasan mental diiktiraf komponen penting dalam pembangunan atlet

Gooi berkata persidangan itu acara pertama seumpamanya yang menghimpunkan atlet, jurulatih, ibu bapa dan profesional untuk menggalakkan dialog transformasi yang meletakkan kecergasan mental setanding dengan kecergasan fizikal. - Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Penganjuran Persidangan Sukan Ketahanan Mental (MFSC) 2025 menjadi wadah penting kerana kecergasan mental ketika ini diiktiraf sebagai komponen utama dalam pembangunan atlet.
Ringkasan AI
- Penganjuran Persidangan Sukan Ketahanan Mental (MFSC) 2025 dilihat penting dalam pembangunan atlet kerana kecergasan mental diiktiraf sebagai faktor utama.
- Persidangan pertama seumpamanya itu bertujuan menggalakkan dialog transformasi antara atlet, jurulatih, ibu bapa, dan profesional untuk memperkukuh kecergasan mental seiring kecergasan fizikal.
- Kajian menunjukkan meningkatnya cabaran kesihatan mental dalam kalangan belia dan atlet, dengan 30 peratus individu di Malaysia melaporkan kebimbangan kesihatan mental, menekankan keperluan alat praktikal bagi atlet menghadapi tekanan dan menjaga fokus.
"Persidangan itu menghimpunkan atlet kebangsaan dan belia, jurulatih, pendidik dan profesional penjagaan kesihatan untuk membincangkan strategi praktikal yang dapat membantu atlet berkembang maju di dalam dan di luar padang," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian MFSC 2025 yang dirasmikan oleh isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Persidangan itu dianjurkan oleh Global Edge Consultancy dan Global Edge Pharma dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang serta disokong oleh kerajaan negeri.
Gooi berkata kajian terbaru menunjukkan cabaran kesihatan mental dalam kalangan belia dan atlet semakin meningkat dan di Malaysia, kira-kira 30 peratus individu berumur 16 tahun ke atas melaporkan kebimbangan kesihatan mental, mencerminkan tekanan lebih besar yang dihadapi oleh atlet, pelajar dan belia.
Beliau berkata angka itu menunjukkan keperluan mendesak untuk melengkapkan atlet dengan alat mengatasi masalah yang kuat pada awal perkembangan mereka.
"Persidangan itu mengetengahkan kepentingan melengkapkan atlet, jurulatih dan ibu bapa dengan alat praktikal untuk memperkukuh daya tahan mental, mengurus tekanan dan mengekalkan fokus.
"Melalui bengkel, sesi pakar, perbincangan panel dan aktiviti interaktif, peserta memperoleh strategi yang boleh diambil tindakan dan diaplikasikan dalam latihan, pertandingan dan kehidupan seharian," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri terus komited untuk menyokong inisiatif yang meningkatkan perkembangan holistik atlet kerana menyedari usaha memupuk kecergasan mental bukan sahaja menguatkan atlet individu tetapi juga menyumbang kepada ekosistem dan komuniti sukan yang lebih luas.
"Inisiatif seperti MFSC 2025 itu memainkan peranan penting dalam memastikan atlet kita bukan sahaja bersedia dari segi fizikal tetapi juga mental untuk beraksi di bawah tekanan dan berkembang maju dalam persekitaran yang kompetitif," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


