Kedah mara ke pusingan ketiga kelayakan ACL benam kelab Hong Kong

Bernama
Januari 21, 2020 22:24 MYT
Penjaga gol Pasukan Kedah Mohd Ifwat Akmal diasak oleh pemain kelab dari Hong Kong, Wofoo Tai Po, Yuto Nakamura (kanan) pada kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Darul Aman di sini malam ini. -Bernama
Kedah membenam kelab dari Hong Kong, Tai Po FC 5-1, sekali gus layak ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 dalam saingan yang berlangsung di Stadium Darul Aman di sini, malam ini.
Penyerang import Kedah, Kipre Tchetche membuktikan kehebatannya apabila berjaya meledakkan tiga gol.
Kipre membuka jaringan buat pasukan tuan rumah seawal minit ke-3 menerusi jaringan cantik menewaskan penjaga gol Tai Po FC, Ho Yui.
Gandingan mantap Kipre dan seorang lagi penyerang Kedah, Kpah Sean Sherman mengucar-ngacirkan pertahanan pelawat dan hasilnya Kipre berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-21 selepas menyudahkan bola tampanan tidak kemas Ho Yui hasil rembatan Mohd Rizal Ghazali.
Pasukan pelawat yang menggandakan serangan dengan beberapa percubaan berbahaya ke gawang Kedah bagaimanapun kehilangan seorang pemain, selepas Sun Ming Him dilayangkan kad merah kerana menarik Kipre dari belakang pada minit ke-33.
Bersambung babak kedua, Kedah yang memiliki kelebihan pemain, meledak gol ketiga menerusi Muhammad Hadin Azman pada minit ke-46 yang merembat masuk bola menerjah kiri gol lawan.
Muhammad Hadin kemudian menambah gol keempat Kedah pada minit ke-66 sebelum pasukan pelawat memperoleh satu gol sagu hati menerusi Chan Man Fai seminit kemudian.
Hujung permainan, minit ke-92 (masa tambahan) Kipre menjaringkan gol kelima Kedah sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil dari Qatar, Saodh Ali Hj Al-Adba.
Laluan Kedah seterusnya menentang kelab FC Seoul pada aksi yang dijadualkan berlangsung di Korea Selatan pada 28 Jan ini.
-- BERNAMA
#ACL #Ho Yui #Kedah #kelayakan Liga Juara-Juara Asia #Kipre Tchetche #Stadium Darul Aman #Tai Po FC