KEDAH Darul Aman FC malam tadi menjelaskan bahawa kelab itu tiada sebarang persetujuan rasmi untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab Brazil, Santos.

Sebelum ini, Santos mengumumkan dalam laman web rasmi mereka bahawa kelab itu akan bertandang ke Alor Setar 17 Februari ini untuk bertemu Kedah dalam aksi persahabatan.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Kedah dalam kenyataan berkenaan.

"KDA FC ingin menjelaskan berita berkenaan perlawanan menentang Santos FC yang diwar-warkan oleh kelab tersebut dan menjadi viral di media tempatan.

"Untuk makluman, tidak ada sebarang persetujuan rasmi dari KDA FC berkenaan perlawanan yang dirancang dan menghormati Santos FC, yang meletakkan nama KDA FC dalam senarai antara pasukan dalam siri perlawanan persahabatan kelab dari Brazil tersebut.

"KDA FC berharap penjelasan ini dapat mengelakkan berita yang tidak tepat susulan pengumuman oleh Santos  FC berkenaan perlawanan persahabatan tersebut," kata kenyataan itu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin, berkata pihaknya ada menerima cadangan dari pihak pengantara atau promoter sekitar awal tahun ini berkaitan aksi persahabatan itu, namun tidak menyatakan sebarang persetujuan.

"Kami ada menerima pelawaan daripada promoter untuk membawa kelab ternama dari Brazil, iaitu Santos FC, bagi mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di Kedah dan diberi tarikh pada 17 Februari.

"Mengikut perancangan awal itu, kami tidak boleh. Kami juga sudah maklumkan tidak bersedia untuk perlawanan sebab kami belum lagi memulakan latihan pasukan dan rancangan latihan kami pula hanya bermula sekitar tarikh berkenaan.

"Namun, kami terkejut apabila mendapati pihak Santos FC mengeluarkan jadual perlawanan itu (17 Februari) di laman rasmi kelab berkenaan dua hari lalu.

"Apabila kami bertanya semula kepada pihak promoter berkenaan, beliau memberi maklum balas adanya salah faham berkaitan perancangan yang diatur itu," katanya. - Stadium Astro