KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) telah berjaya menyelesaikan bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tahun 2023 sekali gus dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.

Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, KDA FC telah menyelesaikan semua tunggakan gaji pemain dan pegawai Liga Super, pasukan bawah 23 tahun, bawah 20 tahun dan bawah 18 tahun sebelum tarikh akhir Sabtu lalu.

"Berdasarkan surat bertarikh 18 April 2024 serta dokumen pembayaran yang telah diserahkan kepada MFL yang kemudiannya disemak oleh FIB, KDA FC telah berjaya melunaskan kesemua tunggakan gaji.

"Bagaimanapun, terdapat dua pemain yang masih belum mendapat bayaran berikutan kes masih dalam perbicaraan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC) iaitu Lee Andrew Tuck dan Jonathan Boareto dos Reis.

"Namun kesemua bayaran tunggakan seperti yang diarahkan oleh FIB telah berjaya diselesaikan oleh KDA FC bagi membolehkan KDA FC kekal mendapat Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super bagi musim 2024-2025," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, FIB tetap mengekalkan hukuman pemotongan tiga mata bagi pertandingan Liga Super musim ini dan denda RM 50,000.

"Ia selepas kegagalan KDA FC membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 pada tarikh akhir 30 Mac 2024 sebelum FIB memberi lanjutan masa sehingga 20 April 2024.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian