Legenda pemain papan selaju Malaysia, Ahmad Fadzil Musa atau lebih dikenali sebagai Pa’din Musa menganggap kehidupannya sudah lengkap sebagai seorang peluncur dengan semua pencapaiannya sepanjang menjadi pemain profesional.

Pa’din, 41, mencipta sejarah dalam sukan 'skateboarding' ataupun papan selaju negara ini apabila mempunyai kasut signature colorway profesional untuk papan selaju keluaran syarikat Amerika Syarikat, Vans.

"Kehidupan saya sudah lengkap sebagai seorang 'skateboarder', saya tidak ada apa lagi yang saya perlu buktikan dalam skateboarding," kata Pa'din.

“Memang setiap impian setiap ‘skater’ untuk mempunyai kasut nama mereka sendiri ataupun signature shoes. Saya sangat bangga ia dapat direalisasikan selepas dua tahun perancangan ini dibuat.

"Saya sangat terharu, gembira dan tidak sangka benda seperti ini boleh berlaku,” kata Pa’din selepas kasutnya ditunjukkan kepada orang ramai dalam satu majlis penayangan filem dokumentari mengenai perjalanan hidupnya bertajuk Demi terbitan Vans Malaysia.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini adalah atlet papan selaju yang paling berjaya di Malaysia apabila melakar sejarah memenangi dua pingat emas kejohanan sukan lasak Asian X Games pada 2000 di Phuket dan 2004 di Kuala Lumpur.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini adalah atlet papan selaju yang paling berjaya di Malaysia apabila melakar sejarah memenangi dua pingat emas kejohanan sukan lasak Asian X Games. - Foto  Pa’din Musa

Sehingga kini tiada seorangpun atlet atau pemain papan selaju negara memenangi emas dalam kejohanan itu.

Ia turut menyaksikan Pa’din menjadi satu-satunya peserta negara yang bersaing di Summer X Games di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2004.

Dari tahun 1994 sehingga 2004, Pa’din mendominasi kejohanan sukan lasak tempatan sehinggalah beliau menjadi penganjur sirkit sukan ekstrem kebangsaan anjuran Kementerian Belia dan Sukan.

Beliau turut menjadi penasihat dan membina beberapa gelanggang sukan ekstrem termasuk di Taman Cabaran Putrajaya dan juga terbaharu, gelanggang sukan ekstrem di Pasir Gudang.

Mempunyai minat yang mendalam dalam sukan papan selaju dan juga motosikal, Pa’din berjaya menjadikannya sebagai sumber pendapatannya sehingga berjaya dalam apa sahaja bidang yang diminatinya.

“Apa yang orang muda boleh pelajari daripada kejayaan saya ialah yang penting mesti betul-betul minat ‘skateboarding’. Saya tidak pernah berhenti bermain walaupun satu ketika kecewa dengan arah tuju sukan papan selaju.

"Saya teruskan bermain dan membahagikan separuh daripada kehidupan saya kepada sukan itu, dan Alhamdullilah semuanya berjaya” pesan Pa’din kepada orang muda yang sudah ataupun baharu berjinak dalam sukan papan selaju.

Pa’din kini kembali ke Pulau Pinang meneruskan perniagaan mengubahsuai dan membina motosikal custom selepas beberapa tahun mencuba nasib dalam perniagaan yang sama di Kuala Lumpur.

Beliau juga merancang untuk membina lebih banyak gelanggang sukan lasak di negara ini.