[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
SUKAN

Kejohanan Asia: Kuartet wanita negara di tempat keenam, Naufal tercorot

Bernama 31/05/2025 | 22:40 MYT
Acara 4x100 meter wanita menyaksikan China muncul juara dengan catatan 43.28s, India meraih perak (43.86s) dan Thailand membawa pulang gangsa (44.26s). - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pasukan 4x100 meter wanita negara menamatkan saingan di tempat keenam pada Kejohanan Olahraga Asia ke-26 yang berlangsung di Gumi, Korea Selatan semalam.

Kuartet negara yang dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling mencatat masa 44.75 saat (s) dalam aksi final, namun gagal menyaingi kepantasan kuasa besar olahraga rantau ini.

China muncul juara dengan catatan 43.28s menerusi gandingan Chen Yujie, Liu Yuting, Zhu Junying dan Liang Xiaojing, manakala India meraih perak (43.86s) dan Thailand membawa pulang gangsa (44.26s).

Sementara itu, impian atlet lompat bergalah negara Muhammad Naufal Shahrul Afzam untuk mencipta kejutan tidak kesampaian apabila menamatkan saingan di kedudukan terakhir dalam acara akhir lelaki.

Naufal sekadar mencatat ketinggian 4.97 meter (M) sekali gus berada di tempat ke-14 daripada keseluruhan peserta.

Atlet Filipina, Ernest John Obiena mempertahankan statusnya sebagai jaguh Asia apabila meraih pingat emas dengan 5.77m, diikuti Huang Bokai dari China (5.72m) yang merangkul perak, manakala gangsa menjadi milik Patsapong Amsamarng dari Thailand (5.67m).


-- BERNAMA




#Kejohanan Olahraga Asia #Korea Selatan #kuartet wanita negara #Muhammad Naufal Shahrul Afzam