KUALA LUMPUR: ''Ini adalah keputusan terbaik yang boleh kami hasilkan pada ketika ini.''

Itulah reaksi daripada Jurulatih Perseorangan Lelaki Kebangsaan, Hendrawan selepas Ng Tze Yong kecundang berhadapan wakil tuan rumah yang merupakan pemain pilihan ke-12 kejohanan Anders Antonsen, 22-24, 16-21, pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark pada Rabu.

Walaupun beliau maklum Tze Yong telah mencuba sebaik mungkin dalam perlawanan di Royal Arena itu, Hendrawan berkata ia tidak mencukupi untuk pemain bukan pilihan itu untuk melakukan kejutan terhadap wakil Denmark itu.

"Tiada alasan. Tze Yong tewas kepada lawan yang lebih bagus yang lebih matang dengan lebih banyak pengalaman. Masih banyak lagi perlu ditingkatkan dan kami akan memberikan yang terbaik."katanya dalam kenyataan dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Isnin lepas, pemain berusia 23 tahun itu melakukan kejutan dengan menewaskan pemenang pingat gangsa kejohanan edisi lepas, Zhao Jun Peng dari China, 21-19, 26-24, untuk menempah slot ke pusingan kedua kejohanan dunia itu.

Malaysia hanya boleh mengharapkan pemain profesional Lee Zii Jia untuk membalas dendam di atas kekalahan Tze Yong yang memedihkan apabila beliau bertemu Antonsen pada hari ini untuk penentuan lapan tempat ke suku akhir.

Semalam, Zii Jia layak ke pusingan ketiga selepas menewaskan wakil Kanada Brian Yang, 21-11, 21-16.

-- BERNAMA