SUKAN

Kejohanan Dunia 2025: Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke pusingan ketiga

Bernama 28/08/2025 | 01:20 MYT
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis selepas menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith, awal pagi tadi. - Gambar Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis selepas menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith, awal pagi tadi.

Bagaimanapun beregu profesional negara itu dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan ranking ke-30 dunia itu 19-21, 21-10, 21-17 dalam tempoh 51 minit pada pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di Adidas Arena.

Pasangan pilihan ketiga kejohanan itu akan bertemu beregu Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan pada perlawanan seterusnya.

Dalam pada itu, bekas juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengesahkan perhitungan menentang rakan senegara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King di pusingan ketiga selepas mudah mengetepikan cabaran beregu Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley 21-15, 21-16.

Terdahulu, Wan Arif-Roy King mengetepikan wakil Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-13, 21-17.

Turut mara ke pusingan ketiga, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menewaskan gandingan India, Rohan Kapoor-Gadde Ruthvika Shivani 21-16, 21-11 sekali gus akan bertemu Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu dari Indonesia.

-- BERNAMA





#badminton #Kejohanan Dunia 2025 #Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani #beregu lelaki negara