SUKAN

Kejohanan Dunia BWF: Pang Ron-Su Yin singkir Soon Huat-Shevon Lai untuk ke suku akhir

Astro Arena 28/08/2025 | 11:38 MYT
Pang Ron-Su Yin bangkit untuk menewaskan wakil veteran negara itu menerusi kemenangan dalam aksi rubber set, 13-21,23-21,21-17, dalam tempoh 55 minit permainan. - Foto Astro ARENA
BEREGU campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, mencipta kejutan apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025 buat kali pertama selepas menewaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, di Arena Adidas, sebentar tadi.

Pang Ron-Su Yin bangkit untuk menewaskan wakil veteran negara itu menerusi kemenangan dalam aksi rubber set, 13-21,23-21,21-17, dalam tempoh 55 minit permainan.

Awal set pertama berlangsung sengit antara kedua-dua wakil negara, namun jurang pengalaman yang dimiliki Soon Huat-Shevon Lai memisahkan kedudukan mereka sekali gus mencipta kemenangan pertama buat beregu veteran negara 21-13.


An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Pang Ron-Su Yin kembali memperkemaskan corak permainan dengan serangan yang lebih tajam untuk mengikat lawan 19-19, momentum itu diteruskan untuk mengeheret Soon Huat-Shevon ke set penentuan dengan kemenangan 23-21.

Set penentuan dimanfaatkan sebaiknya oleh beregu campuran meningkat naik negara di ranking ke-13 dunia itu apabila menewaskan Soon Huat-Shevon Lai 21-17 yang turun buat kali keenam dalam kejohanan itu.


#Kejohanan Dunia BWF #Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025 #Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin #Soon Huat-Shevon Lai